Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Presiden Persatuan Anak Peneroka Felda Kebangsaan (ANAK) Mazlan Aliman diminta berhenti daripada terus membuat pelbagai tohmahan palsu dan provokasi terhadap Felda, kerana "perjuangannya" itu sebenarnya tidak pernah direstui para peneroka di negara ini.

Bagi peneroka, apa yang dilakukan Mazlan itu hanyalah sia-sia sahaja.

Peneroka Felda Triang 3, Bera, Ramli Abdullah, 51, berkata apa yang diperjuangkan Mazlan Adalah satu sebagai perjuangan yang tidak ada hala tuju.

"Dia (Mazlan) cuba meraih sokongan peneroka menerusi perjuangannya membantah penyenaraian Felda Global Venture Holdings (FGVH) ke Bursa Malaysia, dengan harapan golongan peneroka akan terpengaruh dengan dakyah beliau untuk memburukkan-burukkan Felda.

"Tetapi dia silap kerana jika dia berkata perjuangannya untuk menegakkan hak dan menjaga kebajikan peneroka, Felda terlebih dahulu dilihat 'menjuarai' dalam menjaga kebajikan dan membela nasib golongan peneroka Felda di negara ini sejak ia mula ditubuhkan," katanya kepada Bernama baru-baru ini.

Ramli yang mula menjadi peneroka Felda berkenaan sejak 1986, berkata Felda  telah memberikan bermacam-macam insentif kepada peneroka dan anggota keluarga baik dari segi pendidikan, kesihatan mahu pun meningkatkan taraf hidup mereka.

"Anak-anak peneroka yang cemerlang diberikan biasiswa, jika ingin membuat  atau membaiki rumah, pinjaman diberikan, malah insentif ladang turut diberikanwalaupun tanaman kelapa sawit belum mengeluarkan hasil.

"Itu tidak termasuk pemberian durian runtuh RM15,000 kepada golongan  peneroka, isteri dan generasi kedua Felda yang diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak tahun lepas, yang turut dinikmati golongan-golongan yang menghentam Felda, jika Felda tidak betul, dapatkah peneroka menikmati kemewahan sebegini?," soalnya.

Justeru, katanya, Mazlan atau pihak pembangkang diminta tidak mengganggu  para peneroka di Rancangan Felda di negeri ini supaya mereka dapat hidup dalam suasana penuh harmoni dan mengekalkan perpaduan.

"Tidak ada sebab anasir luar terutama dari kalangan pembangkang masuk ke tanah-tanah rancangan bagi membetulkan keadaan kerana kehidupan peneroka terutama di Triang 3 ini kini lebih baik dan aman sentosa," katanya.

Katanya, Mazlan sendiri sebagai seorang anak peneroka, tidak sewajarnya membuat pelbagai tohmahan terhadap Felda, tetapi perlu bersyukur dengan kemewahan yang dinikmati sekarang adalah hasil usaha Felda dan kerajaan yang bertungkus lumus memajukan Felda agar nasib golongan peneroka terus terbela.

Menyentuh penyenaraian FGV, Ramli berkata, ia adalah langkah murni Felda dan kerajaan dalam usaha memaju dan memartabatkan Felda di peringkat global, sekaligus mampu meningkatkan pendapatan Felda.

    

"Sampai bila Felda mahu kekal di takuk lama? Jika tidak disenaraikan di Bursa Malaysia, Felda mungkin tidak akan mampu memberikan kemewahan yang sedia dinikmati golongan peneroka sekarang.

    

"Saya sangat kesal dengan Mazlan yang cuba menggagalkan usaha Felda itu kerana cubaan itu ibarat menabur pasir ke dalam periuk nasi kami," kata bapa kepada tiga orang anak itu.

Faridah Tarmizi, 51, penerokawati dari Felda yang sama, berkata kehidupannya sekeluarga sekarang jauh berubah berbanding ketika mula menjadi peneroka di tanah rancangan berkenaan sejak 26 tahun yang lalu.

"Dulu perpaduan masyarakat peneroka di sini juga aman damai, tapi sejak akhir-akhir ini dengan kemasukan anasir-anasir pembangkang (termasuk Mazlan dan Anak) yang menghasut para peneroka, hubungan di kalangan peneroka sedikit renggang.

"Ini yang kita tidak mahu, kita harap Mazlan hentikan tohmahan dan cuba cari perjuangan yang memberi manfaat kepada peneroka, bukan merosakkan kemudahan, kemewahan dan perpaduan yang sedia wujud di kalangan kami, kelak peneroka juga yang rugi jika kita berpecah belah," kata ibu kepada lima anak itu.

Mazlan, anak peneroka yang berasal dari Felda Bukit Ramun, Kulai, Johor menggunakan ANAK sebagai platform dengan membuat pelbagai dakwaan terhadap Felda termasuk mengatakan tanah peneroka akan tergadai sekiranya FGV disenaraikan di Bursa Saham dan terbaharu mengatakan minyak sawit mentah daripada Felda dijual ke Israel.

Kamaruddin Mat Doaa, 73, peneroka Felda Lurah Bilut, Bentong menafikan penyenaraian FGV itu telah menyebabkan tanah peneroka tergadai, sebaliknya berkata penyenaraian itu umpama 'durian runtuh' yang memberi pulangan berlipat kali ganda kepada mereka.

"Siapa kata tanah kami tergadai? Nama kami masih tertera pada geran tanah yang diberi kerajaan negeri ketika kami datang dan buka tanah rancangan ini 54 tahun dahulu.

"Jangan ghairah sangat untuk melaga-lagakan kami terutama generasi pertama yang membuka Felda Lurah Bilut ini kerana kami takkan terpengaruh dengan hasutan itu," katanya.

Sementara itu, Amran Shaari, 40, dari Felda Triang 3 berkata dakyah Mazlan tidak berkesan di kalangan generasi kedua Felda memandangkan perjuangan beliau dan Anak tidak memberi sebarang faedah mahu pun menjana ekonomi golongan berkenaan.

"Kita kena ingat, dia (Mazlan) juga seorang ahli politik dan cubaan beliau memburuk-burukkan Felda bermotifkan politik dan mahu meraih sokongan generasi kedua Felda setelah usahanya mempengaruhi generasi pertama Felda gagal.

"Dia juga kononnya beria-ia hendak memberikan tanah kepada kami. Kenapa ingin memberi tanah Felda Plantations yang jika diracik-racik, setiap dari kami hanya bakal menerima satu ekar sahaja?

"Apa pula akan jadi dengan lebih 20,000 kakitangan Felda? Siapa pula yang akan menanggung beban pengurusan dan pentadbiran 317 tanah rancangan Felda? Majoriti kakitangan ini pula orang Melayu, sebangsa dan seagama dengan dia. Adakah kita ingin menabur pasir ke dalam periuk nasi mereka?," tegasnya.

Justeru, katanya, beliau menyeru dan menasihatkan generasi baru Felda agar melihat momokan Mazlan dan Anak dengan kedua-dua belah mata dan hati yang terang bukan sekadar menyokong tanpa mengetahui motif sebenar di sebalik perjuangan palsu beliau.

- Bernama

ADS