Serangan militan: Warga kita dikhuatiri maut

Kedutaan Malaysia di Algiers, Algeria mendapat maklumat tentang kemungkinan seorang daripada dua rakyat Malaysia yang tidak dapat dikesan berikutan serangan kumpulan militan di kilang pemprosesan gas di In Amenas, maut, manakala nasib seorang lagi belum diketahui.

Dalam kenyataan di Kuala Lumpur  hari ini, Menteri Luar Datuk Sri Anifah Aman berkata wakil JGC Construction Pte. Ltd, syarikat yang menjadi majikan rakyat Malaysia berkenaan, memaklumkan kepada kedutaan itu tentang perkara tersebut.

"Kedutaan Malaysia akan berusaha sedaya upaya untuk bekerjasama rapat dengan pihak berkuasa Algeria dan JGC Construction Pte.Ltd bagi mendapat pengesahan tentang perkembangan terkini dua rakyat Malaysia itu," katanya.

Sementara itu, para pegawai Kedutaan Malaysia di Algiers telah berjumpa dengan tiga rakyat Malaysia yang menjadi tebusan dalam serangan itu dan dipindahkan ke ibu negara Algeria itu.

"Persiapan sedang dibuat untuk membawa mereka pulang ke tanah air dan Wisma Putra telah memaklumkan tentang keadaan mereka kepada keluarga masing-masing," kata kenyataan itu.

- Bernama
 



PERINGATAN: Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.