Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Najib percaya golongan ulama K'tan bersama BN

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini percaya perjuangan BN untuk mengubah kepimpinan negeri Kelantan turut melibatkan tokoh agama seperti golongan ulama dan umarak.

Beliau berkata tokoh agama ini merupakan pejuang mewakili suara masyarakat Kelantan yang sentiasa dahagakan perubahan tanpa mengetepikan pegangan agama.

"Kalau ingin melihat perubahan, inilah kumpulan yang akan mencipta sejarah. Perjuangan kita melibatkan gandingan baharu pemimpin-pemimpin bertaraf ulama dan umarak (pemimpin).

"Ulama-ulama ini yang tidak main politik. Mereka ini juruh (baik dan bagus), Insya-Allah mereka akan bersama-sama dengan kita. Inilah yang menjadi pegangan saya," katanya pada majlis minum petang bersama badan bukan kerajaan dan pemimpin tempatan termasuk pemimpin sekolah pondok di Kota Bharu.

Terdahulu perdana menteri mempengerusikan mesyuarat badan perhubungan Umno Kelantan kira-kira dua jam.

Najib berharap perjuangan ulama dan umarak akan sentiasa diteruskan serta disokong pelbagai pihak dalam usaha mencapai matlamat yang dirancang.

"Teruskan usaha kita dengan ceramah-ceramah yang dibuat oleh golongan ulama muda mahu pun tua, dan guru pondok. Ini akan membantu kita dalam memberi penjelasan bahawa BN berada di atas landasan yang benar," katanya.

Jelas Najib, Kelantan merupakan negeri pertama yang dimasukkan dalam manifesto BN dan manifesto itu akan dilaksanakan dan dibuktikan kerana janji kerajaan pusat sentiasa ditepati.

Perdana menteri hari ini mengumumkan tujuh projek besar antara sebahagian manifesto BN yang bakal dilaksanakan bagi memajukan Kelantan tidak lama lagi.

Projek itu merangkumi pembinaan lebuhraya Kuala Krai-Kota Baharu, pembinaan stadium baharu, pembinaan masjid terbesar dan pembinaan perumahan rakyat peringkat permulaan melibatkan 3,000 unit.

Projek lain adalah mewujudkan sistem pengangkutan Rapid Kota Baharu, pembinaan kampus bandar Universiti Teknologi Mara yang boleh memuatkan 5,000 pelajar dan projek menyelesaikan masalah air.

- Bernama

ADS