Pemuda PRS mahu polis siasat stesen radio

Pemuda Parti Rakyat Sarawak (PRS) hari ini membuat laporan polis terhadap dua stesen radio swasta haram, Radio Free Sarawak (RFS) dan Radio Kenyalang (RK), kerana didakwa menyebar berita bohong dan menghasut rakyat, khasnya kaum Iban di kawasan pendalaman.

Timbalan Ketua Pemuda PRS Ellison Silo Bilun berkata pergerakan tersebut sependapat dengan kenyataan Presiden PRS Tan Sri Dr James Masing bahawa pihak berkuasa harus mengambil tindakan keras terhadap penaja dan orang di belakang tabir RFS dan RK.

"Sekiranya RFS dan RK dibiarkan meracuni rakyat kita Pemuda PRS bimbang rakyat akan terhasut dan keselamatan negara akan terjejas," katanya ketika ditemui pemberita di balai polis Sungai Maong di sini bagi membuat laporan berkenaan.

Turut hadir Ketua Penerangan Pemuda PRS Danny Bungan.

Ellison berkata satu laporan akan turut dibuat kepada pihak atasan, termasuk Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) supaya tindakan diambil terhadap kedua-dua stesen radio berkenaan.

- Bernama
 



PERINGATAN: Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.