Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Pairin: Beri ruang prosiding RCI sebelum buat penilaian

Timbalan Ketua Menteri Sabah Tan Sri Joseph Pairin Kitingan meminta semua pihak memberi ruang kepada Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) menjalankan tugas menyiasat masalah pendatang tanpa izin di Sabah sebelum membuat penilaian.

Ini katanya bagi memastikan prosiding berjalan lancar mengikut terma yang ditetapkan kerajaan.

"Menurut amalan biasa, maklumat data haruslah dari saksi-saksi, selepas itu baru kita lihat apakah yang semua telah dikeluarkan, baru kita akan buat penilaian yang lebih bijak daripada sekarang," katanya kepada pemberita di Kota Kinabalu hari ini.

Pairin yang juga Presiden Parti Bersatu Sabah, mengulas mengenai RCI yang mengakhiri pendengaran awam pertamanya di Kompleks Mahkamah Kota Kinabalu, Sabah pada Jumaat lepas.

Penubuhan RCI dan pelantikan pengerusi serta anggotanya diumum Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada 11 Ogos lepas bertujuan menyelesaikan sepenuhnya masalah pendatang tanpa izin di Sabah.

Prosiding seterusnya akan diadakan dari 28 Januari hingga 1 Februari dan 22 hingga 27 Februari ini.

Pendengaran diketuai bekas Hakim Besar Sabah dan Sarawak Tan Sri Steve Shim Lip Kiong selain anggota panel iaitu bekas Naib Canselor Universiti Malaysia Sabah Profesor Datuk Seri Dr Kamaruzaman Ampon, bekas Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Henry Chin Poy Wu, bekas Setiausaha Kerajaan Negeri Sabah Datuk Kee Mustafa serta bekas Timbalan Ketua Menteri dan bekas Peguam Besar Sabah Tan Sri Herman J Luping.

-Bernama

ADS