Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita

Angkatan Muda Keadilan (AMK) Selangor akan mengadakan satu perhimpunan dan menyerahkan memorandum kepada Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah bagi memohon campurtangan baginda dalam isu air yang melanda negeri itu.

Ketuanya Azmizam Zamanhuri berkata, perhimpunan itu akan diadakan selepas solat Jumaat di perkarangan Masjid Sultan Sulaiman, Klang pada 25 Januari ini.

NONE Bercakap dalam sidang media di ibu pejabat PKR pagi ini, beliau berkata selepas berhimpun, mereka akan berarak ke Istana Alam Shah bagi menyerah memorandum itu.

Tegasnya, dengan campurtangan dan kuasa yang diperuntukkan kepada Sultan Selangor, diharapkan dapat membantu usaha kerajaan negeri mengambil alih Syarikat Bekalan Air Selangor (SYABAS).

"Pelbagai langkah telah diambil oleh AMK Selangor dan kepimpinan Pakatan Rakyat Selangor untuk menangani masalah ini namun SYABAS tidak mahu berganjak dan tidak melakukan sebarang tindakan yang membantu kerajaan negeri.

"Kita merafak sembah dan menyerahkan memorandum merayu ihsan Sultan Selangor supaya berkenan untuk campurtangan dan menggunakan kuasa yang diperuntukkan kepada baginda bagi membantu usaha kerajaan negeri dalam usaha mengambil alih SYABAS," katanya.

Sebelum ini, masalah kekurangan bekalan air melanda Lembah Klang antaranya Ampang, Cheras dan beberapa kawasan lain sejak Disember lalu didakwa berpunca daripada masalah kerosakan pam di rumah pam Wangsa Maju dan Pudu Hulu.

Menurut SYABAS masalah itu mungkin berlanjutan sehingga Tahun Baru Cina. Bagaimanapun, menurut kenyataan media SYABAS minggu lalu, masalah itu akan diselesaikan secepat mungkin.

Malah, pihak syarikat konsesi air itu juga sedia memberi kerjasama kepada juruaudit yang dilantik kerajaan negeri bagi mengaudit operasi SYABAS khususnya dalam isu rumah pam Wangsa Maju.

ADS