Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Pengerusi ANAK mahu saman atas tuduhan gelapkan wang

Pengerusi NGO Anak Peneroka Felda Kebangsaan (ANAK) Mazlan Aliman bercadang untuk mengambil tindakan undang-undang ke atas beberapa pihak yang mendakwa beliau menggelapkan wang peneroka berjumlah jutaan ringgit.

Katanya, beliau kini sedang mengenalpasti penulis blog dan juga individu yang mengeluarkan dakwaan terbabit.

Bercakap dalam satu sidang media hari ini, Mazlan berkata ia berhubung dakwaan bahawa beliau menggelapkan wang peneroka Felda Kemahang 3, Kelantan yang memenangi kes saman mereka ke atas Felda.

"Saya kesal dengan tindakan pihak-pihak bertanggungjawab yang cuba mengaitkan saya dengan kes yang mendakwa saya telah menggelapkan wang peneroka Kemahang 3.

"(Saman) ini bukan berdendam, tetapi satu pengajaran bahawa ia adalah satu fitnah dan mengaibkan maruah dan reputasi saya sebagai presiden ANAK dan AJK PAS Pusat," kata Mazlan dalam sidang media.

Mazlan berkata pada mulanya beliau mahu bersikap mendiamkan diri, namun pihak yang menyebarkan fitnah berkenaan menurutnya  "semakin melampau" di Youtube, blog dan laman sosial Facebook.

Jelasnya, beliau sejak awal lagi tidak pernah terlibat dengan kes saman yang difailkan pada 2002 di Mahkamah Tinggi Kota Bharu itu.

Mahkamah pada 2007 memutuskan kes itu memihak kepada peneroka dan memerintahkan Felda membayar sebanyak RM8.7 juta kepada peneroka terbabit.

Mazlan berkata walaupun ANAK dilancarkan pada 2007, beliau tidak mengenali peneroka dan peguam yang mewakili peneroka tersebut.

"Saya mengenali peguam pada 2008, enam tahun tahun kes ini di mahkamah. Saya tidak mengenali peneroka walaupun dalam satu majlis, saya datang ke Felda Kemahang 3 untuk mengucapkan tahniah kepada mereka.

"Saya tidak ambil tahu, ini urusan wakil peneroka dan peguam itu... Saya sudah mendapatkan pandangan peguam Mohd Harris Abdullah, dan ada asas untuk mengambil tindakan undang-undang," katanya.

ADS