Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Ketua Wanita PKR Zuraida Kamarudin mendakwa kaji selidik dalaman yang dijalankan pergerakan itu menunjukkan peningkatan sokongan sebanyak lima peratus dari kalangan golongan wanita ke atas pentaadbiran Pakatan Rakyat.

Katanya, kaji selidik itu dijalankan di antara Februari hingga September 2012 ke atas wanita di negeri Selangor.

Katanya, sebanyak 53 peratus responden berkenaan berpuas hati dengan kenyataan bahawa Pakatan wajar diberi peluang untuk mentadbir negeri itu sekali lagi.

Ia merupakan peningkatan lima peratus berbanding 48 peratus responden yang berpendapat demikian ketika kaji selidik itu dijalankan pada Februari tahun lalu, katanya.

"Ini merupakan antara hasil gerak kerja Wanita Keadilan yang giat mempromosikan dan memberi penerangan kepada golongan wanita dan suri rumah di akar umbi.

"Peningkatan ini memberikan mesej jelas bahawa golongan wanita telah mula mendapat kefahaman akan polisi dan dasar yang dibawa oleh kerajaan Pakatan Rakyat sepertimana yang terkandung dalam Agenda Wanita Malaysia (AWM) yang dilancarkan tahun lalu.

"Kami percaya, fenomena peningkatan sokongan wanita ini bukan sahaja di Selangor tetapi di seluruh negara," katanya lagi.

Beliau berkata demikian ketika melancarkan apron khas untuk kempen "Pakatan Lindungi Keluarga Anda" hari ini.

Zuraida berkata, pelancara apron itu merupakan simbol kepada kepercayaan Pakatan ke atas peranan wanita untuk membawa perubahan dan peningkatan kualiti hidup.

ADS