Prof Muhamad Jantan dilantik TNC USM

Dekan Institut Pengajian Siswazah Universiti Sains Malaysia (USM) Prof Dr Muhamad Jantan dilantik sebagai Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) universiti itu yang baru mulai 1 Februari depan.

Timbalan Pendaftar Kanan Pejabat Naib Canselor USM, Mohamad Abdullah dalam satu kenyataan di sini berkata pelantikan Muhamad telah dipersetujui oleh Menteri Pengajian Tinggi Datuk Seri Mohamed Khalid Nordin.

Muhamad, 57, berkelulusan Ijazah Kedoktoran (PhD) dari Universiti of Wales, United Kingdom menggantikan Prof Datuk Asma Ismail yang telah dilantik sebagai Naib Canselor Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) pada Disember lepas.

Sebelum pelantikannya, Muhamad adalah pakar dalam Penyelidikan Operasi dan pernah memberikan khidmat perundingan kepada pelbagai syarikat perindustrian antarabangsa termasuk Motorola, Intel, Solectron dan Matsushita.

USM juga mengumumkan pelantikan Siti Zubaidah A.Hamid sebagai Pendaftar universiti itu mulai 1 Januari lepas.

Beliau menggantikan Jamahyah Basiron yang bersara pilihan pada tahun lepas.

Siti Zubaidah pernah berkhidmat sebagai Pengarah Jabatan Pelajar Malaysia di Washington D.C. pada 2009 sebelum kembali bertugas di Bahagian Penyelidikan dan Inovasi USM.

- Bernama

 



PERINGATAN: Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.