Undi pos: 125 rakyat M'sia di luar negeri telah memohon

Sebanyak 125 permohonan diterima daripada rakyat Malaysia di luar negara yang ingin mengundi secara pos dalam plihan raya umum ke-13 akan datang sehingga pukul 10 pagi ini.

Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof berkata setakat tempoh itu, permohonan paling banyak diterima daripada rakyat Malaysia yang berada di Australia diikuti United Kingdom.
    
"Bagaimanapun kami dapati ada permohonan yang tidak layak mengundi secara pos iaitu mereka tidak mendaftar sebagai pemilih. Ini tidak bolehlah kerana syarat untuk mengundi pos, mereka mesti daftar sebagai pengundi," katanya ketika ditemui Bernama hari ini.
    
Peraturan yang membenarkan rakyat Malaysia yang menetap di luar negara untuk mengundi secara pos telah diwartakan pada 21 Januari lepas berdasarkan tiga syarat.
    
Syarat-syarat itu ialah mereka perlu menjadi pengundi berdaftar terlebih dahulu, pernah berada di Malaysia atau kembali ke negara ini tidak kurang 30 hari dalam tempoh lima tahun sebelum pembubaran Parlimen dan Dewan Undangan Negeri yang sedang berkuatkuasa; dan menetap di luar negara kecuali mereka yang tinggal di Selatan Thailand, Singapura, Brunei dan Kalimantan.
    
Sebelum ini, hanya pelajar sepenuh masa dan penjawat awam dengan pasangan masing-masing (pengundi tidak hadir) dibenar mengundi secara pos.
    
Abdul Aziz berharap trend penghantaran borang permohonan itu akan berterusan memandangkan jumlah pengundi tidak hadir yang mengundi pos pada pilihan raya umum lepas agak mendukacitakan iaitu sekitar 2,600 sahaja.
    
Borang 1B iaitu Borang Permohonan Kertas Undi Pos (Pengundi Pos Luar Negara) boleh dimuat turun daripada laman web www.spr.gov.my.
    
Tempoh memohon kemudahan mengundi secara pos dibuka sejak 21 Jan lepas sehingga 12 tengah malam hari Parlimen dibubar kelak.
    
Abdul Aziz berkata SPR merancang untuk mengadakan proses undi pos di pejabat kedutaan dan bakal menjalankan latihan bersama pegawai-pegawai terlibat selewat-lewatnya awal Februari ini.
    
"Mungkin kami adakan secara regional. Kami akan lantik pegawai pengurus. Ini mesti mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong dan diwartakan. Kami mahu pastikan proses pengundian tersusun," katanya.
    
Abdul Aziz turut menyeru rakyat Malaysia terlibat agar hadir sendiri ke kedutaan di negara masing-masing untuk melaksanakan tanggungjawab mereka.
    
"Rakyat Malaysia di luar negara, sudahlah tidak dapat balik...pergilah ke kedutaan. Saya sedar ada yang duduk jauh tapi berbelanjalah sedikit. Berkorbanlah. Bukan selalu, cuma lima tahun sekali," katanya.
    
Mengulas lanjut, Abdul Aziz berkata mengundi di kedutaan boleh dibantu pegawai yang dilantik dan dapat mengurangkan masalah teknikal terutama daripada aspek mengisi borang dan menanda kertas undi.
    
agaimanapun, beliau berkata pihak kedutaan tetap akan menghantar Sampul Keutamaan yang mengandungi kertas undi itu kepada rakyat Malaysia yang tidak
dapat hadir.
    
- Bernama

 



PERINGATAN: Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.