Isu kalimah Allah, Koh minta rakyat M'sia bertenang

Rakyat Malaysia diminta bertenang dan tidak bertindak balas terhadap isu berhubung penggunaan kalimah Allah dan ancaman membakar Bible berbahasa Melayu.
    
Menteri di Jabatan Perdana Menteri Tan Sri Dr Koh Tsu Koon berkata perkara ini adalah pendapat anggota kabinet Malaysia selepas isu itu dibangkitkan dan dibincangkan semasa satu mesyuarat hari ini.
    
"Sementara itu, semua pihak perlu menahan diri dari polemik terbuka berhubung isu penggunaan kalimah Allah memandangkan kes itu masih belum selesai di Mahkamah Rayuan," katanya dalam satu kenyataan.
    
Beliau mengulas gesaan Presiden Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (PERKASA) Datuk Ibrahim Ali supaya Bible berbahasa Melayu itu dibakar sambil menyifatkannya sebagai tidak sensitif dan tidak bertanggungjawab.
    
Koh yang juga Presiden Gerakan berkata di sebalik usaha Ibrahim untuk menjelaskan berhubung konteks mengenai apa yang dimaksudkannya, persepsi awam adalah beliau sudah pasti melampau, mengguris perasaan masyarakat Kristian.
    
"Walaupun Ibrahim Ali boleh menjuarai hak dan nasionalisme Melayu, sebagai anggota parlimen, beliau bertanggungjawab untuk mengambil tahu mengenai masyarakat kita yang berbilang agama dan menahan diri dari membuat kenyataan sedemikian demi keamanan dan kestabilan.
    
"Jika niat Ibrahim adalah untuk menangani dakwaan menarik penganut baru di kalangan umat Islam oleh bukan Islam dari perspektifnya, beliau boleh menasihatkan orang Islam yang diberikan Bible supaya menyerahkannya kepada polis daripada mengesyorkannya dibakar sebagai satu penyelesaian," katanya.

- Bernama
 



PERINGATAN: Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.