MB: S'gor elak belanja sia-sia SYABAS

Menteri Besar Selangor Tan Sri Khalid Ibrahim berkata kerajaan negeri membekukan perbelanjaan modal (Capex) Syarikat Bekalan Air Selangor (SYABAS) untuk mengelakkan pengguna terbeban dengan perbelanjaan sia-sia oleh syarikat tersebut.

"Justeru, keputusan kerajaan negeri membekukan Capex kecuali kerja-kerja kecemasan adalah bersandarkan pada satu matlamat iaitu menjaga kepentingan rakyat Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya.
 
"Ini kerana, setiap sen yang dibelanjakan oleh SYABAS akan diterjemahkan dalam bentuk tarif yang akan dibayar oleh rakyat dalam bil bulanan mereka.
 
"Sehubungan itu, kerajaan Selangor wajib pertahankan dan mengutamakan kepentingan pengguna, nilai untuk perbelanjaan dan rakyat tidak terbeban untuk membayar tarif bagi perbelanjaan yang sia-sia," katanya.

Dalam kenyataan itu, Khalid juga menegaskan bahawa masalah berkenaan hannya boleh diselesaikan melalui model holistik mengikut Akta Industri Perkhidmatan Air.

"Ini menunjukkan bahawa perkhidmatan air adalah tanggungjawab bersama kerajaan negeri dan Pusat bukannya diuruskan syarikat swasta yang memeras ugut kerajaan negeri,  menindas rakyat dan berorientasikan keuntungan.
 
"Kerajaan negeri bersungguh-sungguh menyelesaikan penstrukturan semula berlandaskan perundangan walaupun kerajaan pusat berdegil untuk membenarkan kerajaan negeri mengambilalih perkhidmatan air," katanya.
 



PERINGATAN: Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.