Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita

Kerajaan Jepun memperuntuk bantuan geran berjumlah RM677,361 kepada tiga buah badan bukan kerajaan (NGO) menerusi Bantuan Geran Jepun untuk Projek Keselamatan Manusia Akar Umbi (GGP) 2013.

NGO tersebut ialah Persekutuan Orang Pekak Malaysia yang menerima RM264,561, Rumah Keluarga Kami (RM318,284) dan Persatuan Kebajikan Orang Cacat Manjung (RM94,516).

Duta Jepun ke Malaysia, Shigeru Nakamura menandatangani sijil geran dengan tiga wakil NGO tersebut di kediamannya di Kuala Lumpur.

Beliau ketika ditemui kemudiannya berkata sejak 1989 hingga Mei tahun lalu, GGP telah membantu 131 projek di Malaysia dengan jumlah keseluruhan RM15 juta.

"Jepun berbangga untuk mengeluarkan geran sedemikian kerana ia boleh meningkat hubungan antara kerajaan dengan kerajaan serta rakyat dengan rakyat kedua-dua negara," katanya.

"Geran ini turut merupakan sumbangan bermakna oleh Jepun kepada masyarakat Malaysia," tambahnya.

Nakamura berkata geran untuk Persekutuan Orang Pekak Malaysia ialah bagi membiayai penerbitan kamus bahasa isyarat sementara geran untuk Rumah Keluarga Kami ialah untuk membina asrama untuk anak-anak yatim rumah tersebut.

Sementara geran untuk Persatuan Kebajikan Orang Cacat Manjung bagi membeli sebuah van yang mempunyai 16 tempat duduk.

- Bernama

ADS