Pairin optimis BN bentuk k'jaan selepas PRU13

Presiden Parti Bersatu Sabah (PBS) Tan Sri Joseph Pairin Kitingan optimis Barisan Nasional (BN) pimpinan Perdana Menteri
Datuk Seri Najib Tun Razak akan membentuk kerajaan selepas Pilihan Raya Umum (PRU) ke-13 nanti.   

Justeru itu, Pairin, yang juga Timbalan Ketua Menteri, mengajak rakyat Sabah supaya bersatu dan seterusnya memberi kemenangan besar kepada BN.

Beliau turut meminta semua anggota parti komponen BN supaya berusaha keras bagi memastikan BN mencapai kemenangan dengan cemerlang.

"Rakyat Sabah harus yakin bahawa BN akan membentuk semula kerajaan selepas PRU ke-13. Kita harus memperkuatkan lagi azam dan yakin dengan perjuangan kita bagi memastikan BN terus memerintah negara ini," katanya.

Pairin, yang juga Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) kawasan Tambunan, berkata demikian semasa berucap pada majlis penutupan seminar Jentera Pilihanraya BN Tambunan di Tambunan Resort, dekat Tambunan semalam.

Turut hadir setiausaha BN Parlimen Keningau, yang juga Timbalan Ketua Bahagian PBS Tambunan, Datuk Daniel Kinsik.

- Bernama

 



PERINGATAN: Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.