'Cabar Islam langgar adab beragama secara harmoni'

Pemangku Raja Perak Raja Dr Nazrin Shah bertitah perbuatan mencabar perkara berkaitan Islam atau ucapan memetik contoh tidak tepat bertujuan mencerminkan imej Islam secara negatif adalah melanggar adab resam beragama secara harmoni dan aman.

Titah baginda akhir-akhir ini garis sempadan menyentuh agama Islam kelihatan mula dilanggar malah ada kalangan bukan Islam yang semakin lantang berbuat demikian.

"Raja Melayu, ulama dan umat Islam tidak menindas, menghina atau memperkecilkan agama lain. Malah mana-mana perbuatan ekstrem yang cuba dilakukan mana-mana pihak akan dibanteras secara tegas dan pantas.

"Umat Islam diasuh menghormati amalan agama lain dan pada lazimnya akan menghindar daripada membuat ulasan secara terbuka terhadap pegangan, kepercayaan, amalan, acara atau ritual agama-agama lain.

"Malah, hak agama-agama lain, turut dijamin dalam Perlembagaan Negara," titah baginda pada sambutan Maulidur Rasul peringkat negeri Perak di Maktab Rendah Sains Mara Felda di Sungkai semalam.

Baginda bertitah tindakan menjadi jaguh mana-mana isu agama bagi mendapat laba politik adalah perbuatan yang tidak diasaskan kepada roh agama sebenar dan kemungkinan besar menjadi perosak hubungan harmoni antara agama.

Isu agama hendaklah ditangani dalam semangat dan roh agama, di kalangan ulama dan mereka yang arif dalam ilmu agama masing-masing, dengan tujuan dan hasrat mencari penyelesaian dan bukan secara mensensasikan isu agama untuk mendapat laba politik, titah baginda.

Raja Nazrin bertitah kepimpinan Nabi Muhammad S.A.W sangat wajar diteladani dan diberi perhatian dalam menghadapi senario semasa dunia dan setempat.

"Ini kerana kebijaksanaan Rasulullah S.A.W menggubal formula yang dapat menjalin hubungan harmoni antara umat manusia yang telah Allah ciptakan berbangsa-bangsa dan bersuku-suku amat penting untuk mewujudkan dunia atau negara yang aman, tenteram, makmur lagi sejahtera.

"Ia amat relevan dalam konteks negara kita yang dikurniakan warga pelbagai agama, kaum, bahasa dan budaya. Komponen untuk mewujudkan keharmonian telah dilaksanakan dengan bijak lagi tertib sepanjang hayat dan sepanjang kepimpinan
Rasulullah, begitu juga oleh para sahabat yang menghayati roh kepimpinan Baginda.

"Dalam menangani konflik dan krisis melibatkan penganut dan kaum yang berlainan, Baginda tidak mengamalkan diskriminasi tetapi teguh berpegang kepada prinsip keadilan, berpandukan seruan Allah," titah Raja Nazrin.

Baginda bertitah kepimpinan berintegriti Rasulullah S.A.W yang dicerminkanmelalui sifat dan perbuatan Nabi Muhammad S.A.W juga perlu dijadikan contoh terutama dari segi tidak memberi keistimewaan kepada anggota keluarga mahupun kenalan terdekat.

"Perhatian baginda (Rasulullah) lebih tertumpu untuk membela nasib golongan miskin  dan hamba abdi. Tidak ada orang menjadi kaya kerana berdamping dengan baginda, sebaliknya orang yang telah sedia kaya, mengorbankan kekayaan mereka
untuk menyokong perjuangan baginda.

"Baginda mengotakan apa yang baginda kata, baginda tidak berpura-pura, baginda tidak bersandiwara, baginda tidak melakonkan watak jujur tetapi baginda sesungguhnya bersifat jujur," titah Raja Nazrin.

Pemangku Raja Perak bertitah budaya hipokrasi akan melemahkan tiang integriti kerana berlakunya amalan 'pepat di luar rencong di dalam' dan membenarkan 'gunting selesa dalam lipatan'.

Titah baginda sebahagian besar masalah umat pada hari ini berpunca daripada ketiadaan integriti terutama apabila ia dilakukan oleh mereka yang diamanahkan dengan kuasa.

"Sebahagian besar masalah ummah pada hari ini berpunca daripada krisis yang tercetus kerana perebutan untuk membina kekayaan secara tidak luhur... secara tidak telus. Malah berlakunya perebutan kuasa adalah kerana kuasa dilihat
sebagai saluran atau konduit untuk membina kekayaan diri, kekayaan famili, kekayaan kroni," titah baginda.

Raja Nazrin bertitah, seruan, perbuatan dan sikap diam Rasulullah S.A.W memiliki nilai sejagat merentasi sempadan agama, kaum dan wilayah yang boleh dijadikan pesanan untuk kemanusiaan sejagat.   

Oleh yang demikian, Raja Nazrin menyarankan kepada penganjur supaya sambutan Maulidur Rasul tidak eksklusif untuk umat Islam sahaja malah diberi ruang penyertaan kepada orang bukan Islam.

Ia bertujuan supaya fahaman terhadap Islam dapat ditingkatkan di samping nilai luhur kemanusiaan sejagat didukung bersama-sama, titah baginda.

Raja Nazrin bertitah sambutan itu mampu menjadi instrumen menyatupadukan rakyat selain forum untuk meningkatkan kefahaman yang lebih luas terhadap nilai kepimpinan dan keharmonian hubungan antara agama.

- Bernama

 



PERINGATAN: Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.