Dolomite: Kami tak diberi peluang suara pandangan

Dolomite Corporation Bhd dilaporkan tidak dibawa berunding dalam proses membuat keputusan yang membawa kepada pembatalan projek kondominium di Batu Caves.

Akhbar berbahasa Inggeris, The Sun, memetik Pengarah Urusan syarikat tersebut, Lew Choong Keong yang terkejut dan kecewa dengan pembatalan projek itu semalam.

"Keputusan itu, yang dibuat semata-mata atas syor Jabatan Perancang Bandar negeri, adalah tidak wajar," katanya dalam laporan tersebut

Lew dilaporkan berkata, selepas dua cubaan untuk bertemu dengan menteri besar dan pihak berkuasa berkaitan, pihaknya tidak diberi peluang untuk membentangkan kes atau penemuan mereka, ataupun diberi peluang meneliti hasil penyelidikan yang dibentangkan oleh jabatan perancangan bandar untuk ketepatan dan perbincangan lanjut.

Menurutnya lagi, Dolomite bersedia untuk memberikan bukti dari pakar-pakar industri bahawa projek tersebut memenuhi piawaian keselamatan dan piawaian alam sekitar.

Lew juga dilaporkan mengadu bahawa kenyataan tujuh perenggan kerajaan negeri mengumumkan pembatalan projek tersebut adalah kabur tentang bagaimana projek itu mungkin membahayakan penduduk dan kawasan sekitarnya.

Kontroversi mengenai projek kondominium itu, yang terletak berhampiran kuil Batu Caves, pertama kalinya tercetus apabila MIC dan jawatankuasa kuil mengadakan bantahan terhadap tahun lepas.

Kerajaan negeri kemudiannya menubuhkan sebuah jawatankuasa untuk menyelia semua pembangunan di kawasan itu, manakala Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berjanji untuk membatalkan projek ini jika BN merampas semula Selangor.

[Baca berita Penuh]

 



PERINGATAN: Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.