Bawani: Saya mahu tamatkan isu video 'listen' ini

Mahasiswa undang-undang Universiti Utara Malaysia (UUM) KS Bawani berkata beliau mahu menamatkan isu video konfrantasinya dengan Pengerusi Suara Wanita 1Malaysia (SW1M) Sharifah Zohra Jabeen Syed Shah Miskin yang hangat diperkatakan sejak minggu lalu.

Bawani yang juga aktivis NGO JERIT berkata beliau tidak mahu perbincangan lanjut mengenai isu tersebut memandangkan banyak pihak telah jelas apa berlaku dalam forum yang dihadirinya pada 8 Disember lalu.

Apatah lagi, katanya, isu video tersebut juga melenyapkan isu lain yang lebih penting dan perlu diberi fokus antaranya dakwaan individu yang mati dalam tahanan polis dan isu gaji minimum.

"Saya berharap ini sidang akhbar yang terakhir saya. Saya tidak mahu mengulas lagi sebarang isu tentang video ini. Saya nak fokus tuntutan saya bersama mahasiswa (iaitu menuntut) pendidikan percuma.

"Kita sedar bahawa isu ini melenyapkan isu-isu yang lebih penting, seperti kematian dalam tahanan polis, gaji minimum, isu akta gaji minima dan sebagainya.

"Saya rasa kita, ada banyak lagi isu di Malaysia, kita perlu fokus kepada isu yang lebih penting dan bukan video klip ini. Jadi, kita tamatkan dahulu isu ini. Kita fokus kepada tuntutan dan isu rakyat," katanya dalam sidang media di ibu negara pagi ini.

Dilaporkan klip video 24 minit yang menunjukkan pertikaman lidah antara Sharifah Zohra dan Bawani telah menjadi topik hangat perbincangan dalam forum internet dan laman sosial Facebook.

Klip video Forum yang bertajuk "Seiringkan Mahasiswa dan Politik' di UUM itu dimuatnaik ke YouTube, 9 Januari lalu, juga telah mencetuskan reaksi pelbagai pihak.

Mengulas laporan bahawa Sharifah telah memaafkan Bawani, mahasiswa lulusan psikologi Universiti Kebangsaan Malaysia itu berasa pelik sedangkan beliau tidak pernah meminta maaf dari pemimpin NGO itu.

"Tuntutan untuk Puan Sharifah meminta maaf adalah ditanya oleh pihak ketiga. Bagi saya, isu pokok adalah isu kebebasan mahasiswa bersuara, kebebasan autonomi universiti dan yang paling penting pendidikan percuma," katanya.
 



PERINGATAN: Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.