Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Thaipusam: SYABAS bekal air bersih di kuil Batu Caves

Syarikat Bekalan Air Selangor (SYABAS) menyerahkan sumbangan bekalan air bersih menerusi lima tangki statik sebagai kemudahan di Batu Caves sempena perayaan Thaipusam.

Sumbangan itu disampaikan Pengarah Eksekutif SYABAS V Subramaniam di perkarangan Kuil Sri Subramaniar Swamy kepada wakil yang juga anggota jawatankuasa unit amal kuil itu, M Puvibalaraj.

Subramaniam berkata air bersih itu akan dibekal mulai esok petang sehingga amat sambutan Thaipusam iaitu pada malam 28 Januari (Isnin).  

"Sumbangan ini bagi memastikan semua penganut dan pengunjung yang hadir mendapat bekalan air bersih untuk minum, masakan dan kegunaan beribadah," katanya kepada pemberita di ibunegara hari ini.

Beliau berkata setiap tangki statik dapat menampung 600 liter air dan

pihaknya akan menghantar lori untuk mengisinya apabila bekalan habis digunakan.

Sementara itu, Puvibalaraj berkata pihaknya amat berterima kasih kepada SYABAS kerana dapat memyumbangkan bekalan air bersih di sekitar Batu Caves bagi melancarkan sambutan perayaan itu.

Beliau berkata SYABAS mula menyumbangkan bekalan air bersih percuma kepada kuil itu sejak sambutan Thaipusam pada tahun 2008. 

"Diharapkan pada tahun-tahun akan datang mereka dapat terus membekalkan bekalan air bersih kepada kami pada perayaan Thaipusam untuk memastikan kesihatan pengunjung di sini dijaga," katanya.

Suasana di sekitar Batu Caves mula dibanjiri ribuan penganut agama Hindu serta pelancong asing hari ini meskipun masih tinggal dua hari untuk sambutan Thaipusam bermula.

Kebanyakan mereka datang awal untuk menunaikan nazar sebagai mengelakkan kesesakan pada hari sambutan Thaipusam.

Tinjauan Bernama mendapati gerai-gerai di sekitar pintu masuk kuil Batu Caves yang menjual pelbagai alat-alat beribadah, buku dan kedai kain, mula beroperasi dan mendapat sambutan yang menggalakkan.

Keadaan trafik di sekitar jalan menuju ke Batu Caves juga mula mengalami kesesakan dan anggota polis serta Rela telah mula bertugas mengawal keselamatan di kawasan itu.

- Bernama

ADS