Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Polis telah bersiap siaga dalam menghadapi sebarang kemungkinan terutamanya dari segi ancaman terhadap ketenteraman awam

sebelum, semasa dan selepas Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13) akan datang.

Ketua Penolong Pengarah Bahagian Kongsi Gelap, Judi dan Maksiat (D7) Polis Bukit Aman, Datuk Abdul Jalil Hassan berkata Jabatan Siasatan Jenayah khususnya unit D7 turut memantau sistem maklumat sedia ada bagi mengenal pasti individu yang berpotensi menggugat ketenteraman awam berdasarkan rekod jenayah masa

lampau.

Katanya unit itu lebih menumpukan persediaan kepada jenayah terancang seperti kekacauan ketenteraman awam yang disengajakan termasuk memastikan keselamatan orang ramai sendiri.

"Melalui pemantau dalam sistem maklumat juga, kita cuba kenal pasti

mereka yang sebelum ini pernah ditangkap bersabit rompakan, ugut dan lain-lain yang mampu menggugat ketenteraman awam. Kita akan panggil mereka dan beri nasihat bagi memastikan mereka tidak lagi melakukan jenayah yang sama semasa pilihan raya.    

"Ada dalam kalangan mereka ini juga terdiri daripada anggota kongsi gelap. Jadi sekiranya berlaku sebarang kejadian tidak diingini, kita tahu siapa yang berkemungkinan melakukannya," katanya kepada Bernama baru-baru ini. 

Katanya meskipun individu yang dikesan ini merupakan mereka yang telah bebas daripada sekatan atau tahanan kes jenayah namun dalam persediaan menghadapi pilihan raya, mereka tetap akan dipantau sebagai langkah berjaga-jaga.

"Kita tetap menghormati mereka kerana mereka bebas daripada sebarang tuduhan jenayah bagaimanapun kita perlu mengambil langkah awal kerana kita mengandai terlebih dahulu sekiranya ia berlaku kita tahu apa tindakan yang perlu kita ambil," katanya.

Abdul Jalil berkata polis juga akan bekerjasama dengan bekas tahanan jenayah ini sekiranya ada di antara mereka yang diugut oleh mana-mana pihak untuk memasuki mana-mana kumpulan bagi tujuan mewujudkan kekacauan dan sebagainya agar memaklumkan kepada polis.

Beliau berkata orang ramai harus sedar bahawa polis sentiasa menjalankan tugas dan tanggungjawab secara proaktif demi memastikan keselamatan dan ketenteraman awam terjaga ketika pilihan raya.

"Kita tidak mahu orang ramai mempunyai perasaan takut untuk keluar membuang undi kerana khuatir akan keselamatan dan sebagainya sebaliknya kita ingin mereka tahu bahawa sebelum, semasa dan selepas pilihan raya negara kita aman daripada apa jua bentuk ancaman kerana kita mempunyai strategi dalam tugasan," katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Negara Tan Sri Ismail Omar berkata dua kursus dijalankan bagi memastikan pegawai dan anggota polis sentiasa bersiap siaga pada tahap yang terbaik.

"Kursus itu kita jalankan kepada semua pegawai dan anggota termasuk  pegawai-pegawai muda bagi memastikan mereka memahami peranan dan tanggungjawab mereka dalam memastikan perjalanan PRU ke-13 berjalan lancar. Kita juga akan jalankan satu lagi kursus untuk tujuan sama," katanya.

Katanya persiapan menghadapi PRU ke-13 bermula sejak beberapa bulan yang lalu, beliau yakin secara keseluruhannya PDRM telah bersedia untuk menghadapi pilihan raya umum itu.

- Bernama

ADS