Kematian Sugumar, polis ambil keterangan 11 individu

Polis mengambil keterangan 11 individu bagi membantu siasatan kes seorang pengawal keselamatan yang dikategorikan sebagai mati mengejut dalam kejadian amuk dekat Kajang, kelmarin.
    
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor SAC Mohd Adnan Abdullah berkata saksi yang melihat insiden itu berkata C Sugumar, 39, mula mengamuk dari Taman Sri Nanding sebelum ke Taman Desa Raya dan Taman Lagenda Suria.
    
"Saksi melihat lelaki itu terjatuh di Taman Lagenda Suria dan seterusnya tidak sedar selepas itu.

"Tiada seorangpun dalam insiden itu nampak pihak polis memukul lelaki berkenaan sebelum dia ditahan," katanya pada satu sidang akhbar di Shah Alam semalam.

Dalam insiden pada kira-kira 6.30 petang Rabu itu, Sugumaran dikatakan menggunakan palang besi untuk merosakkan harta benda awam.
    
Mohd Adnan berkata siasatan awal mendapati lelaki itu mengalami sakit mental dan polis akan mendapat pengesahan berhubung perkara tersebut daripada pihak hospital.
    
Katanya, kes itu disiasat mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan kerana melakukan khianat.

Sebelum ini, Ketua Polis Daerah Kajang ACP Abdul Rashid Abdul Wahab dilapor berkata hasil bedah siasat menunjukkan Sugumaran mati akibat saluran jantung tersumbat dan tiada sebarang kecederaan lain.    

- Bernama
 



PERINGATAN: Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.