Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Mapim gesa semua pihak henti provokasi agama
Diterbitkan:  Jan 26, 2013 9:24 AM
Dikemaskini: 1:29 AM

Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim)  menggesa agar semua pihak menghentikan provokasi agama serta tidak mengeluarkan kenyataan yang boleh menegangkan suasana demi memelihara kerukunan hidup antara agama di negara ini.

Setiausaha agungnya, Mohd Azmi Abdul Hamid berkata, mengungkit isu agama yang diketahui akan menyentuh sensitiviti penganut agama masing-masing sangat merbahaya dan tidak bertanggungjawab.

"Kami kesal terhadap pemimpin politik yang tidak berhati-hati dalam mengeluarkan kenyataan yang menimbulkan persepsi yang tidak baik terhadap Islam.

"Dalam masa yang sama kami menegaskan pihak pemimpin agama harus menghormati kedudukan Islam di negara ini terutama soal menarik orang Islam kepada agama lain yang dilarang dalam undang-undang Persekutuan," katanya dalam satu kenyataan.

Menurutnya, pemimpin agama perlu mengambil berat mengenai sensitiviti yang sangat tinggi di kalangan orang Islam terutama dalam isu murtad dan apa sahaja yang dilakukan oleh penyebar agama lain yang boleh menyebabkan orang Islam murtad.

"Negara ini tidak boleh dihadapkan dengan konflit sivil yang akan menghancur segala asas keharmonian antara agama dan ras yang sudah dipupuk sekian lama.

"Semua pihak perlu memberi perhatian yang mendalam terhadap situasi kehidupan yang sangat sensitif di negara ini jika isu agama dibangkitkan dengan cara yang tidak hikmah," katanya.

Mohd Azmi berkata, terlalu ghairah bermain dengan sentimen agama yang mudah menimbulkan kemarahan antara penganut adalah satu kesilapan besar yang akan mengakibatkan ketegangan yang sukar dikawal.

"Kami menggesa isu berkaitan dengan usaha menarik orang Islam kepada agama lain , penggunaan Kalimah Allah , hendaklah dihentikan dan perlu ditangani oleh pihak berkuasa serta pemimpin-pemimpin agama dengan bijak berdasarkan undang-undang dan asas keharmonian kehidupan beragama di negara ini," tegasnya.

Katanya, Mapim menyarankan agar dialog dan perbincangan yang sihat antara pemimpin agama diadakan untuk mengatasi salah faham mengenai sebarang isu agama.

"Kami juga menuntut agar pihak media lebih bertanggungjawab bila mengangkat isu agama untuk tatapan masyarakat awam. Jika ia tidak dikendalikan dengan bijak , media boleh membawa kesan yang negatif kepada persepsi antara penganut agama," katanya.

ADS