Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Mayat 2 rakyat M'sia terkorban di Algeria dijangka tiba Isnin
Diterbitkan:  Jan 26, 2013 2:54 PM
Dikemaskini: 7:00 AM

Mayat dua rakyat Malaysia yang disahkan terbunuh semasa krisis tebusan di kompleks carigali minyak di In Amenas, Algeria, dijangka tiba di tanah air Isnin ini, kata Timbalan Menteri Luar A. Kohilan Pillay.

    

"Kita kena tunggu beberapa urusan (dokumen dan forensik) yang perlu diselesaikan di sana sebelum membawa mayat pulang dan sekiranya tiada masalah mayat akan tiba dalam masa dua hari," katanya ketika dihubungi Bernama.

Dua rakyat Malaysia yang terbunuh itu dikenal pasti sebagai Chong Chung Ngen dan Tan Ping Wee.

    

Sebelum ini Wisma Putra mengesahkan tiga daripada lima rakyat Malaysia yang bekerja di Kompleks itu terselamat iaitu K. Ravi, 48, Lau Seek Chiang, 38, dan Patrick Purait Awang. Seek Chiang dan Ravi selamat pulang ke pangkuan keluarga masing-masing pada 23 Januari lepas.

    

Dalam insiden yang berlaku minggu lepas, lima rakyat Malaysia antara 130 pekerja dari pelbagai negara di Kompleks Pengeluaran Gas dan Minyak (OGPC) Amenas, timur Algeria menjadi tebusan apabila sebuah kumpulan militan menggempur kompleks pemprosesan minyak dan gas milik syarikat Britain, BP, di timur Algeria.

    

Insiden itu dipercayai berpunca daripada balas dendam terhadap tindakan kerajaan Algeria membenarkan tentera Perancis menggunakan ruang udaranya untuk melancarkan serangan ke atas pemberontak Islam di Mali.

Ketika ditanya berhubung kelewatan dalam mengenal pasti identiti mangsa, Kohilan menjelaskan ada beberapa perkara yang perlu dipatuhi oleh Wisma Putra dalam membuat kenyataan media seperti mengesahkan dengan pihak berkuasa tempatan.

    

"Pengesahan dari pihak berkuasa tempatan amat penting untuk mengelakkan pencanggahan fakta dan prosedur yang telah mereka tetapkan. Kita juga perlu menyemak dengan syarikat di mana rakyat kita bekerja untuk mendapat pengesahan,"

katanya.

    

Beliau menambah proses mengenal pasti dua mayat rakyat Malaysia itu dibuat berdasarkan ujian pergigian yang dilakukan jabatan forensik dan beberapa maklumat fizikal yang diberikan keluarga bagi membantu dalam proses mengenal

pasti identiti.

    

"Selagi kita tidak mengikuti semua prosedur ini selagi itu kita tidak dapat mengesahkan mangsa yang terkorban adalah rakyat Malaysia, jadi di situ mungkin timbul sedikit kelewatan," katanya.

- Bernama

ADS