Projek Langat 2 tetap diteruskan, kata TPM

Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini menegaskan kerajaan pusat akan meneruskan projek pembinaan Loji Rawatan Air Langat 2 (Langat 2) dalam masa terdekat walaupun tanpa persetujuan kerajaan negeri Selangor.

"Kerajaan pusat kata, lulus tak lulus kita sudah tawar kontrak bina Langat 2...dalam sebulan dua, kita buat juga Langat 2 demi  kepentingan rakyat dan bukan Menteri Besar ataupun pakatan pembangkang," katanya.
    
Timbalan perdana menteri berkata demikian ketika berucap pada program mesra rakyat 1Malaysia di Sekolah Kebangsaan Dr Abdul Latiff, di Sabak Bernam hari ini.
    
Beliau berkata buat masa sekarang bagi menampung permintaan air yang semakin meningkat di kalangan rakyat, beberapa buah loji rawatan air di negeri itu terpaksa meningkatkan tahap pengeluaran sehingga 100 peratus.
    
Projek Langat 2 dan sistem agihannya mengalami kelewatan sebanyak 40.55 peratus iaitu kira-kira 29 bulan disebabkan keengganan kerajaan Selangor memberikan kelulusan yang diperlukan.
    
Mengikut perancangan asal, projek yang merupakan sebahagian komponen Skim Penyaluran Air Mentah dari Pahang ke Selangor itu akan dilaksanakan melalui dua fasa melibatkan 23 pakej pembinaan bagi setiap fasa.
    
Langat 2 adalah sebahagian daripada Projek Pemindahan Air Mentah yang akan merawat 1.89 bilion liter air mentah untuk disalurkan ke Selangor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya sehingga 2025.
    
Mengenai usaha kerajaan Selangor mengambil alih perkhidmatan air dari empat syarikat konsesi di negeri itu,  Muhyiddin berkata kerajaan pusat tidak menghalang usaha itu selagi ianya berlandaskan undang-undang dan peraturan.
    
"Kerajaan pusat tidak sekat usaha kerajaan negeri ambil alih  empat syarikat konsesi ini. Pergilah ambil alih konsesi air dan buat  rundingan dengan pihak konsesi ini," katanya.
    
Beliau berkata kerajaan negeri Selangor ada ikatan dan perjanjian dengan semua syarikat konsesi dan mereka harus selesaikan pengambilalihan secara rundingan atas dasar persetujuan antara pembekal dan pembeli.
    
"Justeru, kerajaan negeri tidak boleh mengambil alih perkhidmatan air dari syarikat konsesi secara sewenang-wenangnya sebab terikat dengan undang-undang
dan akta yang termaktub dalam perjanjian konsesi," katanya.
        
Empat syarikat konsesi air di Selangor ialah Syarikat Pengeluar  Air Berhad, Konsortium Abbas, Syarikat Bekalan Air Selangor dan Puncak  Niaga.
    
Dalam perkembangan lain, Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran berkata laporan lengkap Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025 akan dibentangkan kepada Jemaah Menteri pada akhir  bulan ini.
    
"Kita telahpun mengadakan rundingan meja bulat dan menerima  pandangan dari pelbagai pihak untuk pelan ini bagi meningkatkan kualiti  pendidikan negara," katanya dan menurutnya pihak kementerian sudah berjumpa seramai 17,000 orang yang menyertai inisiatif itu.
    
Di majlis itu, Muhyiddin turut mengumumkan pembinaan sebuah Pejabat Pelajaran Daerah (PPD) di Sabak Bernam yang merupakan sebahagian daripada inisiatif Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia untuk meningkatkan dan menaiktaraf PPD.
    
Beliau juga mengumumkan peruntukan RM3.65 juta untuk pelaksanaan projek pembangunan di daerah Sabak Bernam iaitu pembinaan 30 unit rumah, sebuah surau, kelas prasekolah di Sekolah Kebangsaan Dr Abdul Latiff, menaik taraf jalan dan kemudahan asas.
    
Terdahulu, Muhyiddin tiba di Ibu Pejabat Polis Daerah Sabak Bernam untuk memulakan lawatan ke daerah ini dengan menghadiri beberapa program mesra rakyat di samping mengadakan pertemuan tertutup bersama pemimpin Umno Bahagian Sabak Bernam dan Bahagian Sungai Besar.  

 - Bernama

 



PERINGATAN: Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.