Menteri mahu SKMM bertindak lebih tegas

Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan Datuk Seri Dr Rais Yatim mahu Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) memantapkan penguatkuasaan dan bertindak tegas ke atas pihak yang melakukan kesalahan bagi meningkatkan keyakinan masyarakat terhadap mereka.

Sehubungan itu, beliau mahu SKMM menilai semula latihan bagi tenaga kerjanya serta peralatan yang diguna agar penguatkuasaan undang-undang dapat dilakukan dengan lebih berkesan.

"Sekiranya penguatkuasaan kita berada di tahap biasa, maka kita akan dikalahkan oleh pihak-pihak yang melakukan jenayah ini," katanya kepada pemberita selepas Pertandingan Badminton Persahabatan antara D'SURY dan SKMM di Dewan Badminton, Istana Negara lama, di Kuala Lumpur hari ini.

Turut hadir Ketua Setiausaha kementerian Datuk Seri Kamaruddin Siaraf dan Pengerusi SKMM Datuk Mohamed Sharil Tarmizi serta pegawai kanan SKMM.

Rais juga menjangka kesalahan membabitkan jenayah dalam talian seperti penggunaan bahasa lucah dan ugutan meningkat ketara pada masa akan datang dan perlu ditangani dengan berkesan.

"Ini juga termasuk kes-kes seperti memperkecilkan atau mempersendakan agama orang lain, mempersendakan budaya orang lain atau sesuka hati membuat saman malu terhadap pihak-pihak yang berkenaan," katanya.

Beliau berkata masyarakat juga perlu berani tampil mendedahkan maklumat berhubung kesalahan dalam talian agar siasatan dapat dijalankan dan seterusnya menjamin keutuhan undang-undang negara.

Selain itu, Rais berkata SKMM juga perlu tegas dalam menguatkuasakan Akta Perlindungan Data Peribadi 2010 kerana melibatkan pelbagai maklumat sulit dan peribadi individu seperti nombor telefon, kad kredit dan akaun bank.

"Sekiranya maklumat ini dicabul atau disalah guna oleh pihak lain, bagaimana SKMM harus membantu pihak-pihak ini supaya mereka berasa teguh?

"Apa tindakan SKMM supaya orang ramai yakin terhadap sistem perbankan, sistem kad kredit dan juga sistem penyimpanan rekod masing-masing," katanya.

Terdahulu dalam ucapannya Rais menyentuh mengenai perlawanan persahabatan itu yang menurutnya bukti sebuah "keluarga" besar seperti Kementerian Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan (KPKK) dapat berkumpul untuk mewujudkan keharmonian dan kemesraan sesama sendiri.

"Ini satu aktiviti yang sangat harmoni dan pada masa akan datang boleh diadakan di dewan yang lebih besar supaya dapat melibatkan semua anggota KPKK," katanya.

- Bernama
 



PERINGATAN: Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.