Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Polis Selangor mencadangkan supaya diadakan inkues bagi menyiasat kematian C Sugumar selepas dia ditahan dan digari polis kerana mengamuk di Taman Sri Nanding, Hulu Langat, dekat sini, Rabu lepas.

Timbalan Ketua Polis Selangor, Datuk A. Thaiveegam berkata pihaknya akan menghantar kertas siasatan berhubung kes kematian pengawal keselamatan berusia 39 tahun itu kepada pendakwa raya Selasa ini.

Beliau berkata sebuah pasukan khas di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor telah mengambil alih siasatan kes itu pada Jumaat lepas dan telah merakam dan mendengar keterangan daripada 89 saksi kejadian.

"Kita meminta orang awam yang berada di lokasi kejadian dan nampak sebarang tindakan kekerasan oleh mana-mana individu supaya tampil memberikan keterangan kepada polis dalam membantu kes ini," katanya kepada pemberita di Pusat Media IPK Selangor, di Shah Alam, hari ini.

Justeru, Thaiveegam meminta tiga individu dikenali sebagai R Mohanarajan, S Sugunan dan R Wasanan yang mendakwa ada melihat mangsa dipukul dalam satu laman portal berita, supaya tampil memberi keterangan kepada polis dengan segera.

Beliau berkata mereka yang mempunyai maklumat boleh menghubungi Pegawai Penyiasat ASP Burhanuddin Mustafa di talian 019-382-9212/03-5514-5152 atau mana-mana balai polis berhampiran.

"Ada yang mendakwa berlaku kekerasan ke atas si mati namun sehingga hari ini tiada seorang pun yang tampil menyalurkan maklumat," katanya.

Dalam kejadian Rabu lepas, Sugumar yang dipercayai mengalami masalah mental mengamuk lalu merosakkan harta benda awam dengan menggunakan palang besi.

Menurut laporan media sebelum ini, Sugumar bertindak agresif ketika cuba ditahan oleh anggota polis dan digari sebelum tiba-tiba rebah sebelum meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke hospital.

Bagaimanapun, laporan itu juga menyebut saksi mendakwa melihat anggota polis memijak leher mangsa serta membiarkan dia dibelasah oleh kira-kira 20 orang yang berada di restoran berhampiran tempat kejadian.

Ketua Polis Daerah Kajang, ACP Abdul Rashid Abdul Wahab dilapor berkata hasil bedah siasat menunjukkan Sugumar mati akibat saluran jantung terseumbat dan tiada sebarang kecederaan lain.

- Bernama

ADS