Polis: Laporan bedah siasat mayat William siap Selasa

Laporan penuh bedah siasat ke atas mayat kanak-kanak dipercayai William Yau Zhen Zhong, 6, yang dilaporkan hilang di Putra Heights, Subang Jaya pada 16 Jan lepas, dijangka siap Selasa ini.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor SAC Mohd Adnan Abdullah berkata polis masih menunggu laporan penuh bedah siasat itu serta keputusan ujian DNA ke atas mayat kanak-kanak itu yang dijumpai terapung di Sungai Sireh, Pelabuhan Klang Khamis lepas.

Beliau berkata sehingga kini polis masih mengklasifasikan kes itu sebagai mati mengejut.

Mohd Adnan berkata mengikut Prosedur Operasi Standard (SOP) keputusan ujian DNA itu hanya boleh diketahui dalam tempoh 72 jam hari bekerja.

"Kita masih menunggu kedua-dua laporan ini dan segala maklumat terkini akan dimaklumkan kemudian," katanya kepada pemberita di Pusat Media Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor di Shah Alam hari ini.

Jumaat lepas ibu bapa William Yau, mengenal pasti mayat kanak-kanak itu adalah anak mereka berdasarkan kesan parut di belakang kepala dan di dahi.

William Yau, anak kedua pasangan Goh Ying Ying, 28, dan Yau Kok Kang, 32, dilapor hilang di Jalan Putra Mahkota, Putra Heights, Subang Jaya selepas dipercayai keluar daripada kenderaan untuk mencari ibu bapanya yang singgah di sebuah kedai barangan elektrik.
    
Sementara itu, tinjauan Bernama di rumah keluarga kanak-kanak itu di Taman Sri Muda, Seksyen 25 di sini mendapati ia kosong sejak malam tadi dan difahamkan keluarga kanak-kanak itu kini berada di kampung mereka di Melaka.

Seorang jiran yang enggan dikenali berkata, sejak kejadian itu ibu bapa kanak-kanak itu tidak berada di rumah mereka dan hanya singgah seketika untuk mengambil barang dan dokumen penting.

- Bernama
 



PERINGATAN: Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.