Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
'Hanya Najib boleh umum senarai akhir calon parti PBB'

Calon Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) yang akan mempertahankan kesemua 14 kerusi Parlimennya pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-13 hanya akan diumumkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Timbalan Presidennya Datuk Amar Abang Johari Tun Openg juga berkata persoalan sama ada ahli Parlimen dari parti itu akan dikekalkan atau berpindah kawasan juga hanya akan diumumkan oleh Najib.

Pada PRU ke-12 pada 2008, PBB memenangi kesemua kerusi di 14 kawasan Parlimen iaitu Santubong, Petra Jaya, Kota Samarahan, Mambong, Batang Sadong, Batang Lupar, Betong, Tanjung Manis, Igan, Mukah, Kapit, Sibuti, Limbang dan Lawas.

"Saya tidak boleh mengesahkan sama ada penyandang kerusi Parlimen dari PBB akan terus menjaga kawasan masing-masing...hanya tunggu pengumuman Najib merangkap Pengerusi Barisan Nasional (BN)," katanya kepada pemberita selepas mesyuarat dengan sebahagian daripada 14 ahli Parlimen tersebut di Ibu Pejabat PBB, Jalan Bako, di sini, semalam.

Mesyuarat lebih dua jam itu dipengerusikan oleh Ketua Menteri Tan Sri Abdul Taib Mahmud, yang juga presiden parti berkenaan.

Mengulas lanjut, beliau berkata mesyuarat bersama ahli Palimen itu adalah bagi membincangkan persediaan jentera pilihan raya di kawasan yang diwakili mereka.

"Kita juga yakin dapat mempertahankan semua 14 kerusi Parlimen itu," kata Abang Johari, yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Satok.

-Bernama

ADS