Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Laporan awal ujian 'deoxyribonucleic acid' (DNA) oleh Jabatan Kimia mengesahkan mayat kanak-kanak lelaki yang ditemui di Pelabuhan Klang pada 24 Januari lalu adalah William Yau Zhen Zhong.

Ketua Polis Daerah Subang Jaya ACP Yahaya Ramli berkata laporan awal keputusan analisis DNA itu dikeluarkan jabatan berkenaan petang semalam.

"Ia mencatatkan bahawa penderma spesimen darah A berlabel Goh Ying Ying iaitu ibu (kepada William) dan darah B berlabel Yau Kok Kang (bapa) adalah kedua-duanya sebagai ibu bapa kandung kepada individu sumber profil DNA lelaki daripada spesimen tulang B1 berlabel William Yau Zhen Zhong," katanya pada sidang media di Petaling Jaya hari ini.

William, 6, anak kedua pasangan Goh, 28, dan Yau, 32, dilapor hilang pada 16 Jan di Jalan Putra Mahkota, Putra Heights, Subang Jaya selepas dipercayai keluar daripada kenderaan untuk mencari ibu bapanya yang singgah di sebuah kedai barangan elektrik.

Pada 24 Januari, mayat seorang kanak-kanak lelaki lengkap berpakaian ditemui di Jeti Kampung Sungai Sireh, Pelabuhan Klang oleh seorang nelayan pada 6.30 petang, sebelum dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR), Klang untuk bedah siasat.

Yahaya berkata ibu bapa William kini dalam perjalanan dari Melaka untuk menuntut mayat anak mereka di HTAR hari ini.

Mengulas lanjut, beliau berkata laporan penuh bedah siasat yang dilakukan pada 25 Januari lepas dijangka keluar kira-kira tiga minggu lagi.

Bagaimanapun, beliau berkata punca kematian mungkin tidak dapat dikenal pasti kerana keadaan organ dalaman mangsa yang sudah reput dan rosak.

Mengulas laporan yang menyatakan mangsa pernah didera, Yahaya menjelaskan: "Tidak ada kecederaan pada tubuh, cuma ada parut-parut (lama) yang telah dikenal pasti oleh ibu bapa mangsa."

Katanya berdasarkan siasatan awal polis, tidak ada laporan kes dera dibuat di sekitar Subang Jaya, Shah Alam atau Melaka mahupun laporan bahawa William pernah dihantar untuk menjalani rawatan psikiatri.

Namun, Yahaya berkata ibu bapa William akan dipanggil semula untuk memberi keterangan, dan sehingga kini lebih 30 individu telah diambil keterangan.

"Kita beri masa kepada ibu bapa William untuk menguruskan mayat anak mereka dan sebagainya pada masa ini dan bila semua dah selesai, baru kita panggil mereka semula," katanya.

Beliau berkata kes William masih dikategorikan sebagai kematian mengejut.

Pada hari bedah siasat berlangsung pada 25 Januari, ibu bapa William mengesahkan mayat kanak-kanak itu sebagai anak mereka.

Ini berdasarkan penemuan dua parut di belakang kepala dan satu di dahi mangsa, selain penemuan seluar dalam milik William yang dipakai kanak-kanak itu.

Pada ketika itu, siasatan awal polis mendapati mayat kanak-kanak itu 75 peratus menyerupai William.

Berita kehilangan William turut mendapat perhatian Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin yang memohon kerjasama seluruh rakyat Malaysia untuk mencarinya.

-Bernama

ADS