Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Dua mayat rakyat M'sia terbunuh di Algeria tiba di KLIA

Mayat dua rakyat Malaysia yang terkorban dalam krisis tebusan kumpulan militan di Algeria selamat tiba di kompleks kargo Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) jam 8.30 malam tadi.

    

Menteri Luar Datuk Seri Anifah Aman dalam satu kenyataan berkata mayat mendiang Chong Chung Ngen dan Tan Ping Wee telah diterbangkan dari Algiers setelah diuruskan oleh Kedutaan Malaysia di sana bersama dengan syarikat JGC Construction Pte. Ltd.

"Mayat berkenaan diiringi oleh Patrick Purait Awang, salah seorang rakyat Malaysia yang terselamat semasa insiden tebusan tersebut," kata Anifah.

Beliau berkata Timbalan Menteri Luar Senator A.Kohilan Pillay dan beberapa pegawai kanan dari Wisma Putra serta ahli keluarga mendiang turut hadir untuk menerima mayat tersebut.

Beliau berkata keluarga berkenaan meminta agar privasi mereka dihormati bagi mereka menghadapi detik sukar ini.

    

"Dalam hubungan ini, kerajaan Malaysia sekali lagi merakamkan ucapan takziah dan simpati kepada keluarga berkenaan atas kehilangan orang yang disayangi," katanya.

Mendiang Tan berasal dari Port Dickson, Negeri Sembilan dan dilaporkan bekerja di Algeria sejak enam bulan lalu manakala mendiang Chong yang berasal dari Ipoh, Perak merupakan seorang inspektor kawalan kualiti dan baru tiga bulan bertugas di sana.

    

Dalam insiden 16 Januari lalu, lima rakyat Malaysia antara 130 pekerja dari pelbagai negara di Kompleks Pengeluaran Gas dan Minyak (OGPC) In Amenas, timur Algeria menjadi tebusan kumpulan militan.

 Insiden itu dipercayai berpunca daripada balas dendam terhadap tindakan kerajaan Algeria membenarkan tentera Perancis menggunakan ruang udaranya untuk melancarkan serangan ke atas pemberontak Islam di Mali.

Tan dan Chong disahkan terbunuh dalam kejadian itu, manakala tiga lagi rakyat Malaysia - K.Ravi, Lau Seek Chiang dan Patrick terselamat.   

Lau dan Ravi pulang ke pangkuan keluarga masing-masing Rabu lalu.

- Bernama

ADS