Najib: K'jaan lulus RM50j untuk program Hati Rakyat

Kerajaan meluluskan peruntukan RM50 juta kepada Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat untuk melaksanakan program Hati Rakyat yang akan bermula bulan depan.

Pengumuman itu dibuat Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak yang juga Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat pada majlis pelancaran jubli emas Majlis Persatuan Wanita Kebangsaan Malaysia (NCWO) di Dewan Perdana Felda hari ini.

Beliau berkata bantuan itu akan disalur kepada ibu tunggal, Orang Kurang Upaya dan warga emas mengikut keperluan masing-masing.

"Bantuan itu mungkin diguna untuk buat latihan, keperluan warga emas seperti lampin dan kerusi roda.

"Bantuan kewangan kita akan campuradukkan dengan program 1Azam supaya wanita yang ingin berniaga kecil-kecilan boleh dapat bantuan," katanya berucap merasmikan sambutan jubli emas NCWO.

Najib berkata peruntukan yang disalur mesti sampai kepada kumpulan sasar yang ditetapkan.

- Bernama

 



PERINGATAN: Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.