PM: K'jaan sedia ubah perkara halang kemajuan wanita

Kerajaan bersedia melakukan perubahan terhadap undang-undang, peraturan, amalan dan pemikiran yang menghalang wanita untuk lebih maju, sesuai dengan kedudukan dan kemampuan mereka, kata Datuk Seri Najib Tun Razak.

Perdana Menteri yang juga Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga
dan Masyarakat turut mengalu-alukan cadangan dan kertas kerja daripada Majlis Persatuan Wanita Kebangsaan Malaysia (NCWO) berhubung perkara itu untuk dipertimbangkan kerajaan.

Beliau berkata keupayaan wanita perlu ditentukan terlebih dahulu sebelum kedudukan mereka diperkasa dan langkah untuk membantu wanita berdaya saing dipertingkatkan.

"Saya jamin ia tidak akan memakan masa tujuh tahun. Jika ada yang baik tak perlu kita tunggu lama," katanya ketika berucap melancarkan jubli emas NCWO di Dewan Perdana Felda di ibunegara hari ini.  

Turut hadir isteri beliau Datin Seri Rosmah Mansor, Menteri di Jabatan
Perdana Menteri Datuk Seri Idris Jala, Presiden NCWO Prof Tan Sri Dr Sharifah Hapsah Syed Hasan Shahabudin dan Menteri Pelancongan Datuk Seri Dr Ng Yen Yen.

Najib juga berkata wanita kini mempunyai pelbagai peranan sebagai ibu, isteri dan pekerja yang perlu dihargai dan ia merupakan khazanah kepada negara.

Justeru, katanya, kerajaan perlu memikirkan bagaimana kepelbagaian peranan atau multi-skilling wanita itu boleh dipermudahkan.

Beliau berkata walaupun penglibatan wanita dalam tenaga kerja adalah sebanyak 46 peratus, tetapi pendapatan yang diterima oleh mereka, masih di bawah RM3,000.

"Wanita masih di peringkat bawah, maknanya kuantitatif itu tinggi tetapi bukan kualitatif. Jadi bagaimana wanita boleh dipertingkat dalam rantaian nilai kita untuk pendapatan yang lebih tinggi," katanya.

Oleh itu, beliau juga berharap wanita dapat menguasai kemahiran yang lebih, seperti kemampuan teknologi maklumat dan inovasi supaya ia dapat memberi nilai tambah kepada majikan dan organisasi.

"Sekarang ini kerajaan telah melatih ramai wanita sebagai pengarah dalam syarikat rangkaian kerajaan (GLC). Saya selalu tanya adakah ada wanita yang kita boleh lantik dalam GLC?" katanya. 

Malah, beliau berkata kerajaan sentiasa mengiktiraf peranan wanita dalam agenda pembangunan negara dan golongan itu merupakan aset yang amat penting kepada negara.

"Maka kita sentiasa memikirkan bagaimana kita boleh memperkasa peranan wanita sama ada dalam bidang ekonomi, sosial mahupun politik," katanya.

Sementara itu, Najib turut berharap ada penambahan pusat jagaan kanak-kanak di tempat kerja bagi memudahkan wanita yang berkerjaya dan berharap NCWO boleh menjadi badan yang boleh mengutarakan perkara itu secara berterusan.

- Bernama

 



PERINGATAN: Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.