Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Tidak puas hati dengan respons polis terhadap kes kematian C Sugumar, kira-kira 50 orang mengadakan protes secara aman di hadapan ibu pejabat polis Bukit Aman hari ini.

NONE Diketuai oleh ahli parti pembangkang dan beberapa NGO, kumpulan tersebut mengadakan protes duduk mulai jam 10.45 pagi.

Ketika dihubungi, peguam Latheefa Koya yang mewakili keluarga

Sugumar berkata, kumpulan itu menuntut dua perkara dari pihak polis - mengeluarkan dokumen hitam-dan-putih untuk mengadakan bedah siasat kedua, dan untuk mengklasifikasikannya sebagai kes bunuh.

"Kami telah berada di sini sejak pagi ini. Pihak polis hanya menghantar beberapa pegawai perhubungan awam untuk bertemu dengan kami.

"Tetapi kita tak mahu mereka, kerana kita hanya mahu bertemu dengan wakil dari jabatan siasatan," kata Latheefa, yang juga ketua biro undang-undang PKR.

Menurutnya, peserta protes tersebut membawa sepanduk bertulis 'Najib tindas Masyarakat India  dan 'Rakyat dizalimi, kuasa disalahgunakan'.

NONE Selain dari Latheefa, antara yang hadir ialah Naib Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar dan N Surendran; Ahli Parlimen (MP) Kapar, S Manikavasagam; MP Teluk Intan, M Manogaran; MP Hulu Langat, Che Rosli Che Mat; Setiausaha Agung PSM, S Arutchelvan; Pengarah Sksekutif Suaram, E Nalini dan Penyelaras Rakyat Malaysia untuk Beng Hock, Ng Yap Hwa.

Ibu Sugumaran, K Manimagalay, turut hadir.

Bagaimanapun, mereka beredar kira-kira jam 4.30 petang selepas pihak polis enggan memenuhi tuntutan mereka tersebut.

Surendran berkata, sebelum ini mereka berjumpa dengan seorang pegawai bahagian undang-undang Jabatan Siasatan Jenayah.

"Tetapi kecewa kerana pihak polis enggan bersetuju dengan (tuntutan diadakan) bedah siasat kedua, dan ia disiasat sebagai kes bunuh," ketika dihubungi Malaysiakini petang ini.

Katanya, keluarga Sugumar kecewa dengan keenggan pihak polis memenuhi tuntutan mereka, tetapi akan terus menuntut keadilan untuk anak mereka itu.

Berita tambahan dilaporkan oleh Abdul Rahim Sabri

[Baca berita Penuh]

ADS