Menteri: PNS tak diambil alih syarikat Dr Azizan Osman

Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) menafikan dakwaan bahawa Perbadanan Nasional Berhad (PNS) akan diambil alih oleh syarikat milik Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif Richworks Group of Companies Dr Azizan Osman.

Menteri berkenaan Datuk Seri Ismail Sabri berkata PNS yang merupakan agensi di bawah KPDNKK tidak boleh dijual kerana ia bukan syarikat perniagaan.

"PNS adalah perbadanan yang diwujudkan oleh kerajaan di bawah Kementerian Kewangan. Kalau dia nak beli dia mesti dapat kelulusan Kementerian Kewangan.

"Saya 'check' dengan Menteri Kewangan Kedua (Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah) tadi...no such things (tidak ada perkara sebegitu).

"Kerajaan selama ini tidak pernah jual perbadanan," katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis ramah mesra bersama pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di Putrajaya semalam.

Laporan akhbar semalam yang memetik sumber, menyebut mengenai pengambilalihan itu.

Laporan itu menyatakan pengambilalihan itu diumumkan oleh Dr Azizan sendiri ketika Seminar Berani 2013 di Wisma MCA, Kuala Lumpur Sabtu lepas.

"Dia ini (Dr Azizan) pakar motivasi. Saya agak dia nak 'impress' kepada peserta motivasi... yang syarikatnya hebat, sehingga kerajaan pun sanggup nak bagi perbadanan kepadanya. Agaknyalah.

"Atau pun kenyataan (nak ambil alih PNS) itu mungkin bukan dari mulut dia," katanya.

Terdahulu Ismail Sabri menyerahkan peruntukan sebanyak RM4 juta kepada 11 NGO kepenggunaan dan bukan kepenggunaan antaranya Persatuan Pengguna Pulau Pinang, Fomca, Persatuan Pengguna Islam Malaysia dan Majlis Belia India Malaysia.

Ia bagi membantu NGO berkenaan melaksanakan program dan aktiviti kepenggunaan yang dirancang tahun ini bagi meningkatkan kesedaran pengguna.

- Bernama
 



PERINGATAN: Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.