Mahkamah Tinggi batal notis SPRM panggil peguam

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur membatalkan notis dikeluarkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kepada dua peguam berhubung penyiasatan kes melibatkan National Feedlot Corporation (NFC).
    
NONEHakim Datuk Zaleha Yusof semasa membenarkan permohonan semakan kehakiman itu memutuskan notis dikeluarkan mengikut Seksyen 48(c) Akta SPRM 2009 adalah tidak sah dan salah guna kuasa, dan notis itu tidak sepatutnya dikeluarkan terhadap
Latheefa Koya (kiri) dan Murnie Hidayah Anuar.
    
"Saya tidak nampak sebarang logik untuk mengeluarkan notis kepada pemohon (dua peguam) bagi merekodkan kenyataan mereka, yang hanya mewakili anak guam mereka," kata Zaleha.
    
Beliau berkata ia merupakan satu perbuatan menakut-nakutkan dan cubaan mendapatkan maklumat tertentu di antara anak guam dan peguam yang mewakili mereka oleh pegawai SPRM.
    
Zaleha membenarkan tiga permohonan oleh pemohon, pertamanya bagi pembatalan notis itu, notis bertarikh 19 Mac 2012 itu diisytiharkan sebagai tidak sah dan  ketiganya pegawai SPRM tidak mempunyai kuasa untuk merekodkan kenyataan daripada peguam yang mengiringi anak guam mereka.
    
Bagaimanapun, beliau tidak membenarkan permohonan gantirugi oleh pemohon.
    
Latheefa yang juga anggota jawatankuasa pusat Parti Keadilan Rakyat dan Murnie dalam permohonan mereka menamakan SPRM, kerajaan Malaysia dan Penolong Superintendan SPRM Suziana Ali sebagai responden.
    
Mereka menyatakan notis bertarikh 19 Mac itu meminta mereka hadir di ibu pejabat SPRM di Putrajaya pada 23 Mac 2012 untuk membantu siasatan melibatkan Pengerusi Eksekutif NFC Datuk Seri Dr Mohamad Salleh Ismail adalah tidak sah dan bercanggah dengan ketetapan Perkara 5(2), Perlembagaan Persekutuan.
    
Kedua-dua peguam mewakili bekas perunding NFC Datuk Shamsubahrin Ismail mendakwa mereka menerima notis itu pada hari yang sama (19 Mac) selepas mengiringi anak guam mereka ke pejabat SPRM untuk memberikan kenyataan berhubung kes Mohamad Salleh.
    
Gagal mematuhi notis itu merupakan kesalahan mengikut Seksyen 48(c) Akta SPRM 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 69 akta sama yang membawa hukuman denda maksimum RM10,000 atau penjara dua tahun atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.
    
Kedua-dua pemohon diwakili peguam R.Sivarasa manakala SPRM diwakili Peguam Kanan Persekutuan Effandi Nazila Abdullah.
    
- Bernama
 



PERINGATAN: Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.