Lelaki maut dihempap lori pasir

Seorang lelaki maut manakala rakannya parah apabila sebuah lori pasir terbalik lalu menghempap kereta Proton Perdana yang dinaiki mereka di Lebuhraya Persekutuan, berhampiran Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) di ibunegara semalam.

B Delvandra Kumar, 41, yang memandu kereta itu maut di tempat kejadian manakala rakannya, juga lelaki, kini dirawat di PPUM.

Difahamkan lori pasir yang tidak membawa muatan itu mengalami kerosakan akibat kotak gear meletup secara tiba-tiba dan terbabas kira-kira 50 meter.

Pegawai operasi pasukan Bomba dan Penyelamat Zainal Aziz berkata kejadian pada pukul 9 malam itu menyebabkan pemandu lori gagal mengawal kenderaannya lalu merempuh penghadang jalan menyebabkan lori itu terbalik ke laluan bertentangan dan menghempap kereta berkenaan.

Beliau berkata kejadian itu turut melibatkan dua kereta lain apabila sebuah pacuan empat roda jenis Toyota Harrier dan Perodua Kancil yang berada di belakang kereta itu tidak sempat mengelak lalu merempuh lori terbabit.

"Dua lelaki dan seorang wanita yang berada dalam Toyota Harrier serta seorang wanita yang memandu kereta Kancil tidak cedera," katanya.

- Bernama

 



PERINGATAN: Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.