Mahfuz: Saya sedia bekerjasama dengan polis

Naib Presiden PAS Datuk Mahfuz Omar berkata beliau hanya meminta penjelasan daripada kerajaan berhubung surat yang diterimanya melalui pos, yang didakwa daripada Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) mengarahkan kad pengenalanyang tidak dituntut dihantar ke Sabah.

Katanya, beliau sedia memberi kerjasama kepada pihak polis memandangkan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishamuddin Hussein hari ini memberitahu, yang Ketua Pengarah JPN akan membuat laporan polis berhubung hal itu.

NONE"Saya tak kata surat itu betul. Saya terkejut juga kata itu surat palsu. Selepas pendedahan baru tahu. Kalau saya tak buat pendedahan adakah mereka tahu?

"Saya terkejut perkara itu diumumkan sebagai surat palsu. Saya hormati mereka. Tetapi sekarang bukan isu surat palsu tetapi adakah kerajaan pernah arahkan supaya semua kad pengenalan yang tak dituntut dikembalikan ke JPN?

"Saya tak ada apa masalah (beri kerjasama dengan polis). Itu hak mereka. Sebab itu saya persoal semalam, adakah betul atau tidak. Itu yang kerajaan perlu perjelas," katanya ketika dihubungi Malaysiakini.

Semalam, Mahfuz menuntut penjelasan JPN serta Kementerian Dalam Negeri (KDN) berhubung surat yang didakwa dikeluarkan pengarah bahagian kad pengenalan JPN kepada semua pengarah negeri dan daerah di seluruh negara.

Mahfuz mendakwa surat bertarikh 14 Disember itu mengarahkan agar kad pengenalan serta Mykid yang tidak dituntut dalam masa 18 bulan dihantar melalui pos ke Keningau, Sabah.

Hari ini, Hishamuddin pula berkata surat itu adalah palsu dan ketua Pengarah JPN Datuk Jariah Mohd Said akan membuat laporan polis berhubung perkara itu.

"Itu surat palsu. Ianya palsu. Tuduhan yang dibuat adalah berdasarkan surat palsu. Saya minta orang ramai yang tiada kepentingan politik supaya tidak mempercayai perkara yang dibuat oleh pihak tertentu. Ketua pengarah JPN juga akan membuat laporan polis hari ini," kata Hishamuddin.

Sehubungan itu, Mahfuz berkata lagi, sekiranya beliau dipanggil untuk disoal siasat, pihak polis juga perlu memanggil orang yang bekerja di pejabat pos yang menghantar surat itu memandangkan ia dipos ke rumahnya.

"Tak ada masalah saya nak beri kerjasama. Saya dapat surat. Orang yang pos ke rumah saya. Jadi orang pejabat pos pun kena bekerjasama dengan mereka (polis)," kata Mahfuz berseloroh.

 



PERINGATAN: Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.