Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
26 maut lori bunga api meletup, jambatan runtuh

BEIJING - Sebuah lori yang sarat dengan muatan bunga api meletup ketika melintasi sebuah jambatan di tengah China hari ini, mengakibatkan 26 orang maut apabila struktur jambatan itu runtuh dan kenderaan menjunam ke bawah, demikian menurut laporan media negara itu.

Lori tersebut "tiba-tiba meletup" di atas jambatan di lebuh raya dalam Wilayah Henan, China itu, lapor Radio Nasional China, yang menganggarkan 26 orang terkorban.

Satu bahagian jambatan sepanjang 80 meter runtuh dan enam kenderaan telah dikeluarkan dari runtuhan, laporan agensi berita rasmi China - Xinhua - sambil menambah usaha menyelamat sedang dijalankan.

Gambar yang disiarkan dalam talian menunjukkan bangkai kenderaan di bawah jambatan, termasuk sebuah trak merah terbalik sebelah, dan lainnya terbalik dengan roda ke atas, ketika pekerja menyelamat seragam oren turun ke bawah.

Orang ramai menjenguk melalui serpihan menerusi jerebu tebal ketika sebuah lagi lori sebahagiannya tergantung di tepi jambatan itu.

Jambatan berhampiran bandar Sanmenxia itu terletak di lebuh G30, jalan terpanjang di China, yang melewati hampir 4,400 kilometer (2,700 batu) dari sempadan barat China dengan Kazakhstan ke timur Laut Kuning.

Jambatan itu setinggi 30 meter, lapor media tempatan.

Banyak jalan utama di China sesak ketika rakyatnya membuat persediaan untuk menyambut Tahun Baru China, apabila beratus juta orang kembali ke kampung halaman masing-masing dalam apa yang dianggap sebagai penghijrahan tahunan terbesar manusia di dunia.

Musim ini juga merupakan tempoh puncak bagi pengeluar bunga api, kerana rakyat Cina membeli bahan letupan untuk meraikan perayaan, yang jatuh pada 10 Februari tahun ini.

Menurut statistik polis, kira-kira 70,000 orang mati dan 300,000 lagi cedera dalam kemalangan jalan raya setiap tahun di China, lapor media negara itu.

China telah menyaksikan beberapa kejadian jambatan runtuh dalam tahun-tahun kebelakangan ini, yang sering dipersalahkan atas lebihan muatan dan pembinaan kurang bermutu. Salah satu kejadian itu di timur laut China pada Ogos lepas membunuh tiga orang.

AFP

ADS