Tahanan polis mati ketika dirawat di hospital HSAS Temerloh

Seorang lelaki yang dalam tahanan polis kerana disyaki terbabit dalam kes samun, mati ketika menerima rawatan di Hospital Sultan Ahmad Shah (HSAS), Temerloh.

Ketua Polis Daerah Temerloh ACP Abdul Aziz Salleh berkata kematian lelaki berusia 43 tahun itu diklasifikasi sebagai mati mengejut selepas mengalami sesak nafas dan berlaku pendarahan dalaman, kesan daripada penyalahgunaan dadah.

"Mohd Ropi Yaakob disahkan mati pada pukul 5.50 petang semalam. Dia ditahan di lokap polis Temerloh sejak 24 Januari," katanya kepada pemberita di Temerloh hari ini.

Beliau berkata hasil bedah siasat pihak hospital, mendapati lelaki itu mati akibat 'upper gastrointestinal bleeding' (pendarahan gastrousus).

"Pemeriksaan terhadap mayat si mati turut dilakukan Majistret Temerloh Najwa Hashim, dan mendapati tiada kesan kecederaan dan tanda-tanda lebam pada badan si mati, serta tidak ada unsur jenayah atau kekerasan," katanya.

Beliau berkata lelaki itu mengadu sesak nafas semasa dalam lokap pada pukul 4.20 petang semalam dan dia dibawa ke hospital untuk rawatan lanjut.

Lelaki terbabit ditahan bersama empat lagi lelaki berusia antara 23 dan 48 tahun.

Mohd Ropi yang berasal dari Pasir Putih, Kelantan, mempunyai lapan rekod jenayah lampau membabitkan dua kes dadah dan enam kes samun termasuk satu kes cubaan membunuh yang disiasat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan.

- Bernama
 



PERINGATAN: Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.