Filem Vishwaroopam, KDN akan jumpa pengedarnya

Kementerian Dalam Negeri (KDN) akan mengadakan perjumpaan dengan pengedar filem Vishwaroopam bagi membincangkan isu  penayangan filem itu di negara ini.
    
Menterinya Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata perjumpaan dengan  Lotus Five Star Sdn Bhd yang dijangka diadakan minggu depan itu akan mengkaji dan mencari penyelesaian yang wajar ke atas filem itu.
    
"Saya kenal dengan pemilik syarikat pengedaran itu dan kita akan cari penyelesaian menerusi sumbernya," katanya kepada pemberita selepas sambutan Maulidur Rasul peringkat Parlimen Sembrong, di Felda Ulu Belitong, di Kluang hari ini.
    
Sehubungan itu, Hishammuddin turut mengingatkan semua pihak terutama komponen Barisan Nasional dan rakyat supaya memahami isu sebenar mengenai filem berkenaan dan tidak terikut-ikut dengan kenyataan yang dibawa pihak luar bagi
mengelakkan sebarang polemik.
    
Vishwaroopam, yang merupakan sebuah filem Tamil lakonan Kamal  Hassan mencetuskan kontroversi kerana didakwa menghina komuniti Islam.
    
Filem itu ditayangkan pada 24 Januari lepas di negara ini tetapi ditarik balik pada hari berikutnya ekoran satu arahan daripada pihak KDN.
    
Sementara itu, Hishammuddin yang juga Naib Presiden Umno sekali lagi mengingatkan rakyat supaya tidak terpengaruh dengan pelbagai isu yang sengaja ditimbulkan pihak tertentu bagi memburuk-burukkan kerajaan menjelang pilihan raya umum.
    
Beliau berkata tindakan itu dilihat boleh menyebabkan perpecahan antara  kaum sehingga menjejaskan keharmonian negara.
    
"Antara yang ditimbulkan termasuk menggembar gembur isu keselamatan  di
negara ini dan membuat 'serangan' terhadap polis," katanya.
    
- Bernama
 



PERINGATAN: Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.