Projek IC: Pak Lah sangkal dakwaan Anwar

Bekas perdana menteri Tun Abdullah Ahmad Badawi menyangkal dakwaan Datuk Seri Anwar Ibrahim bahawa beliau turut terbabit
dalam Projek IC, iaitu memberikan kad pengenalan biru kepada pendatang di Sabah.

Abdullah berkata tindakan Ketua Pembangkang itu menuduhnya terbabit dalam Projek IC itu adalah semata-mata mahu menutup kesalahan sendiri.  

"Mana ada saya terlibat... bohong. Saya dah kata tak terlibat,
habislah... noktah. Saya memang tidak terlibat dengan perkara itu (Projek IC).

"Dia (Anwar) selalu menyalahkan orang lain, dia tuduh lepas itu dia cuci tangan. Saya kenal dia sangat," katanya kepada pemberita selepas majlis penyerahan Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M 2.0) di Kepala Batas hari ini.

Abdullah, yang juga Anggota Parlimen Kepala Batas, berkata demikian ketika ditanya mengenai dakwaan Anwar dalam laporan sebuah akhbar bahawa Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) sepatutnya turut menyiasat Abdullah dan Perdana Menteri
Datuk Seri Najib Tun Razak kerana terbabit dengan projek berkenaan.

Anwar juga mendakwa projek memberikan kad pengenalan biru kepada pendatang tidak berakhir pada tahun 1990-an dan ia berterusan semasa pentadbiran Abdullah dan berlanjutan sehingga tahun lepas meliputi pentadbiran Najib.

Sebelum itu, Abdullah menyerahkan BR1M 2.0 fasa pertama kepada 262 masyarakat Cina di kawasan Parlimennya di Dewan Tokong Tau Bo Keong, di sini.

Sebelum ini, bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamed mendakwa Anwar terbabit secara langsung dalam projek memberi kewarganegaraan dan kad pengenalan kepada pendatang yang tidak layak di Sabah pada tahun 1990-an. 

Anwar, pemimpin umum Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang pernah menjadi timbalan perdana menteri di bawah pentadbiran Dr Mahathir, menafikan sebarang peranan dalam Projek IC di Sabah dan bersedia memberi keterangan kepada RCI jika dipanggil untuk berbuat demikian.

- Bernama

 



PERINGATAN: Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.