Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Peserta mahu dakwah anti-Hari Valentine diteruskan

Beberapa individu yang didekati sukarelawan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia dalam program kesedaran anti-Hari Valentine menyambut baik program dakwah berkenaan dan mahu ianya diteruskan.

Antaranya, seorang pelajar Mohd Hariri Abdul Hamid, 19, yang berharap program sukarelawan seperti itu tidak hanya fokus kepada isu-isu tertentu sahaja.

jakim volunteers in anti-valentine day 3 "Saya rasa mereka bagus sebab mereka berani berhadapan dengan orang awam walaupn mungkin antara mereka bila pergi ke arah orang awam akan kena marah atau maki. Saya puji semangat mereka yang berani.

"Sepatutnya program sukarelawan ini tak perlu bermusim. Kena selalu ada lagi-lagi dalam isu-isu seperti yang terbaru (isu) kalimah Allah. Yang penting bukan isu kalimah tetapi macam mana nak terap akidah umat Islam.

"Kalau boleh ada sukarelawan tetap untuk isu semasa yang boleh mempertahankan isu kalimah Allah dan isu-isu agama yang diserang. Mereka  perlu menjadi pembuka mata kepada orang awam," katanya ketika ditemui Malaysiakini .

Seorang peniaga pula, Alkarim Ehsan, 53, berkata program sukarelawan tersebut dapat menyampaikan ilmu yang berguna berhubung isu hari Valentine memandangkan beliau kurang mendapat pendedahan mengenainya.

azlan "Tindakan yang disampaikan sangat berguna di zaman sekarang. (Sebelum ini) tak berapa tahu dan faham sangat. Patut buat lagi," katanya.

Sementara itu, sukarelawan yang terlibat pula berpandangan, program itu juga akan diperluas dengan mengetengahkan isu lain dan tidak terhad kepada masalah Hari Valentine sahaja.

Mohd Amir Sobirin, 20, berkata program tersebut memberi peluang kepada remaja sepertinya untuk menimba pengalaman untuk berdakwa secara praktikal.

"Ini kali pertama saya (berdakwah). Agak gementar sebab akan berjumpa dengan orang yang tak kenal. Saya sokong untuk perbanyakkan perkara sukarelawan macam ini. Tak sepatutnya bila ada isu (timbul) baru ada (program dijalankan).

jakim volunteers in anti-valentine day 2 "Sepatutnya berterusan, tak semestinya Valentine sahaja. Hari lain pun boleh buat seperti mengajak orang ke masjid atau samapikan salam. Itu juga dakwah," katanya.

Seorang pegawai kanan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) Saimah Mokhtar berkata program dakwah mengenai bahaya sambutan Hari Valentine anjuran jabatan itu menarik penyertaan seramai 300 orang remaja.

Pengarah bahagian keluarga dan sosial Jakim itu berkata peserta berkenaan antara lainnya ditugaskan untuk mengedar risalah dan mendekati masyarakat Islam di kawasan tumpuan utama di Kuala Lumpur pada hari berkenaan.

Berbeza dengan program sebelum ini, acara sukarelawan kali ini lebih mendekati masyarakat dan memberi penjelasan kepada golongan yang kurang jelas tentang sambutan Hari Valentine.

"Kali ini lebih praktikal. Sebelum ini kita buat forum dan sebagainya, kali ini turun padang. Program ini lebih memberi pendekatan macam mana nak jumpa masyarakat dan beri penerangan tentang keputusan fatwa serta tingkatkan kefahaman orang Islam.

"Orang ramai perlu faham, berkasih sayang itu tidak salah. Tetapi, merayakan hari Valentine itu yang kita tidak mahu. Itu yang salah. Jadi program ini kita nak fahamkan orang ramai," katanya.

Beliau yang ditemui pemberita selepas majlis perasmian program sukarelawan tersebut di Kuala Lumpur semalam berkata, program itu mensasarkan penyertaan remaja berusia antara 19 hingga 25 tahun dari NGO serta pelajar universiti.

Seramai 300 sukarelawan tersebut dibahagikan kepada 10 kumpulan yang ditugaskan untuk berdakwah di taman KLCC, Bukit Bintang, Stesen Sentral Kuala Lumpur serta Jalan Chow Kit.

ADS