Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berjanji tidak akan mengecewakan harapan dan aspirasi masyarakat India di negara ini terhadap kerajaan BN.

Sambil menegaskan tidak mahu kaum India merasa terpinggir daripada arus pembangunan negara, Najib berkata beliau mahu mereka menjadi masyarakat yang semakin maju dan berjaya.

"Saya akan pastikan hari esok lebih baik untuk kaum India sama seperti kaum-kaum lain," katanya ketika berucap pada sambutan Pesta Ponggal Peringkat Kebangsaan di Dataran Merdeka, di Kuala Lumpur, malam tadi.

Turut hadir isteri beliau Datin Seri Rosmah Mansor, Presiden MIC Datuk Seri G Palanivel, Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan Datuk Seri Dr Rais Yatim, Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar Datuk M Saravanan dan Duta Khas (Infrastruktur) Malaysia ke India dan Asia Selatan Datuk Seri S Samy Vellu.

Najib mengakui banyak lagi cabaran dan masalah kaum India yang perlu diambil perhatian oleh kerajaan BN.

Berucap di hadapan sekitar 100,000 pengunjung, Najib berkata beliau akan berbincang dengan timbalannya Tan Sri Muhyiddin Yassin, yang juga Menteri Pelajaran, untuk mempertimbang Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) yang tidak mendapat bantuan penuh kerajaan, supaya ditukar kepada sekolah bantuan penuh kerajaan secara berperingkat.

"Kita juga akan sediakan peruntukan sewajarnya supaya prasekolah ditubuhkan di SJKT kerana pendidikan awal amat penting," katanya.

Selain itu, beliau mencadangkan agar Kolej Tafe dinaik taraf menjadi kolej universiti teknikal kerana institusi itu mampu menyediakan peluang pendidikan teknikal yang amat diperlukan negara.

Najib turut mencadangkan supaya peruntukan tertentu disediakan untuk menaik taraf pusat komuniti dan krematorium di kawasan yang padat dengan penduduk kaum India yang memerlukan perkhidmatan itu.

Beliau berkata Jawatankuasa Kabinet Mengenai Hal Ehwal Masyarakat India juga menumpukan antara lain kepada usaha meningkatkan jumlah ekuiti kaum India.

"Kita juga akan menambah bilangan kaum India yang mendapat akses kepada pendidikan tinggi dan akan mencari jalan untuk kurangkan kadar jenayah dan penglibatan orang muda kaum India dalam masalah sosial," katanya.

Najib berkata beliau dan rakan komponen BN yang lain akan berganding bahu untuk memastikan masa depan kaum India dan kaum lain di negara ini terus terbela sekiranya sokongan terus diberi kepada BN pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-13 nanti.

"Tolong beri saya 'Nambikei' (kepercayaan), tolong beri saya kepercayaan dan keyakinan, kalau tuan-tuan dan puan-puan beri 'Nambikei' kepada saya dan kerajaan BN, pasti kita lakukan lebih banyak lagi perubahan dan kejayaan untuk kaum India di negara ini," tambahnya.

- Bernama

ADS