RM20 juta projek MRT diagih pada kontraktor bumiputera

Beberapa projek Transit Pantas Massa (MRT) bernilai kira-kira RM20 juta telah diagihkan kepada kontraktor Bumiputera pada 29 Januari lepas.

Presiden Persatuan Kontraktor Melayu Malaysia (PKMM) Datuk Mokhtar Samad berkata pengagihan dihasilkan melalui cabutan undi antara 500 kontraktor kelas D,E dan F.

"Hasil undian telah mewujudkan 44 jenis kerja dan projek yang keseluruhannya bernilai RM20 juta kepada kontraktor yang terpilih."

"Projek yang telah diagihkan itu melibatkan kerja-kerja landskap, pagar, parit, membaik pulih bangunan MRT sedia ada dan sebagainya," katanya kepada Bernama baru-baru ini.

"Persatuan ingin mengucapkan tahniah dan terima kasih kepada MRT Corp yang sudah memulakan langkah prihatin kepada nasib kontraktor Bumiputera bersesuaian dengan transformasi Perdana Menteri (Datuk Seri Najib Tun Razak) supaya tidak meminggirkan anak tempatan Melayu dalam sebarang projek pembangunan," katanya.

Projek MRT, yang dikendalikan MRT Corp bernilai RM20 bilion, yang mana RM250 juta daripadanya diperuntukkan kerajaan untuk diagihkan kepada kontraktor Bumiputera Kelas D, E, dan F yang berdaftar dengan Persatuan Khidmat Kontraktor, Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan (CIDB) dan terletak di kawasan pakej berkenaan.

Sebelum ini, adalah dilaporkan, daripada jumlah RM250 juta itu, 12 kontrak kecil bernilai RM15 juta telah diagihkan manakala lebih daripada 50 kontrak kecil bernilai keseluruhan RM235 juta masih belum diagihkan.

Mokhtar berkata persatuan turut berharap agar baki projek itu juga dapat diagihkan kepada kontraktor Melayu supaya terus diberi peluang dan tidak dipinggirkan dalam bersama-sama membangunkan negara.

-Bernama
 



PERINGATAN: Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.