Puad: Empat sekolah tak serah bantuan pada pelajar

Kementerian Pelajaran menerima laporan terdapat empat sekolah yang tidak menyerahkan bantuan khas awal persekolahan kepada pelajar, kata Timbalan Menteri Pelajaran Dr Mohd Puad Zarkashi.

Beliau berkata keempat-empat sekolah di semenanjung itu berbuat demikian bagi menggunakan wang itu untuk yuran aktiviti di bawah Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG).

"Sebaik menerima laporan itu, sekolah berkenaan dengan serta merta diarah menghentikan tindakan itu dan mengembalikan wang bantuan kepada ibu bapa pelajar.

"Kami mahu bantuan itu sampai kepada ibu bapa dan menggunakannya untuk pendidikan anak mereka," katanya kepada pemberita selepas Majlis Pecah Tanah Projek Membina Bangunan Asrama sekolah itu di Paitan, semalam.

Beliau berkata kementerian sempat menghentikan tindakan dua daripada sekolah itu yang mengeluarkan surat untuk mendapatkan persetujuan ibu bapa menggunakan wang bantuan itu bagi bayaran yuran PIBG manakala dua lagi sekolah diminta mengembalikan wang itu kepada ibu bapa.

Sehubungan itu, beliau meminta ibu bapa melaporkan kepada kementerian jika ada sekolah tidak menyerah atau memotong jumlah wang bantuan yang sepatutnya diberi kepada mereka.

- Bernama
 



PERINGATAN: Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.