Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Lelaki diperintah bayar bekas teman wanita RM4,741

Mahkamah Sesyen di Kuala Lumpur hari ini menolak saman fitnah yang difailkan seorang jurutera terhadap bekas teman lelakinya, seorang anggota tentera laut.

Bagaimanapun, Hakim Jumirah Marjuki memerintahkan Leftenan Efftizal Hazrie Roslan membayar sejumlah A$1,468 atau RM4,741 kepada Nur Shairah Ishak sebagai pembayaran balik wang yang dipinjamkan kepada ibu bapa Efftizal Hazrie sepanjang perkenalan lima tahun bermula 2005.

Jumirah membuat keputusan tersebut di dalam kamar dengan dihadiri peguam Fazlena Noorwati Rahmat yang mewakili Efftizal Hazrie (defendan) dan Fatihah Iliani Jamhari bagi pihak Nur Shairah (plaintif).

Fazlena Noorwati memberitahu pemberita bahawa mahkamah tidak membenarkan tuntutan perbelanjaan lain kerana tiada perjanjian sah dan kos akan ditaksir kemudian.

Jumlah gantirugi tersebut adalah mengikut tukaran ketika kejadian iaitu A$1 = RM3.23.

Pada 30 Ogos tahun lepas, Nur Shairah yang merupakan seorang jurutera dan penduduk tetap Australia memfailkan saman fitnah terhadap bekas teman lelakinya itu kerana mendakwa dimalukan di laman sosial Facebook.

Beliau menuntut pembayaran balik hutang peribadi RM103,955, ganti rugi am bagi fitnah, faedah dan kos.

Mengikut pernyataan tuntutan, Nur Shairah mendakwa dalam tempoh perhubungan, mereka sering berjumpa sama ada di Malaysia, Australia atau New Zealand.

Beliau mendakwa sepanjang 2005 hingga 2010, mereka sering bercuti bersama dan hampir kesemua perbelanjaan termasuk tiket penerbangan, tiket bas, tiket konsert, sewa hotel penginapan, sewa kereta dan perbelanjaan lain ditanggung olehnya.

Nur Shairah berkata, kesemua pembayaran dibuat atas dasar kesefahaman kedua-dua pihak bahawa Efftizal Hazrie akan membayar semula separuh dari jumlah perbelanjaan tersebut kemudian hari.

Nur Shairah berkata beliau menyimpan semua rekod dan resit perbelanjaan untuk menuntut kembali keseluruhan yang telah dikeluarkan.

Sementara itu, menerusi pernyataan pembelaan Efftizal Hazrie, beliau mendakwa tiada sebarang perjanjian dan beliau tidak pernah meminta Nur Shairah mendahulukan wangnya untuk sebarang perbelanjaan.

- Bernama

ADS