Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita

Polis menahan enam lelaki dan sepasang suami isteri dalam serbuan serentak di empat premis perjudian siber tanpa lesen di Pusat Niaga Metro Prima, Kepong malam tadi.

'Ops Dadu' diketuai DSP Azman Mohd Isa yang bermula 8.30 malam dan berakhir 90 minit kemudian itu menyaksikan 127 unit komputer yang telah diubah suai dan wang tunai RM1,110 dirampas.

Operasi melibatkan empat pegawai dan 18 anggota Cawangan  Perjudian, Maksiat dan Kongsi Gelap (D7) dari Ibu Pejabat Polis Kuala Lumpur.

    

"Mereka yang ditahan terdiri daripada lima penjaga premis dan tiga pemain judi berumur antara 20 dan 48 tahun," katanya kepada pemberita di lokasi serbuan.

    

Kes disiasat mengikut Seksyen 4B (a) Akta Rumah Judi Terbuka 1953 yang membawa kepada hukuman kepada pemilik premis berupa denda sehingga RM10,000 bagi setiap mesin judi atau penjara lima tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

    

Pemain judi pula akan didakwa mengikut Seksyen 7(2) akta sama yang jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara sehingga enam bulan dan denda  tidak lebih RM5,000.

    

- Bernama

ADS