Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Bantuan RM1,000: Menteri mahu 'bukti' dari veteran tentera

Menteri Pertahanan Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata bantuan RM1,000 kepada pesara tentera tanpa pencen mungkin akan dipertimbangkan untuk dibayar secara tahunan sekiranya BN mendapat mandat sekali lagi dalam pilihan raya umum akan datang.

Dalam ucapannya ketika merasmikan satu portal kerjaya veteran tentera hari ini, naib presiden Umno itu berkata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak mungkin akan menimbang perkara itu.

"Bantuan one-off RM1,000 pula, (pesara tentera) minta untuk (dibayar secara) tahunan, saya fikir PM akan mempertimbangkan untuk melaksanakannya namun sekiranya kerajaan terus mendapat mandat," katanya.

Ditanya lanjut mengenai perkara itu dalam sidang media selepas itu, Ahmad Zahid berkata perkara tersebut "perlu dibuktikan" terlebih dahulu kerana ia melibatkan kos besar.

"Dalam perkara ini saya fikir ianya bergantung kepada manifesto yang akan digarapkan oleh pengerusi BN pada pilihan raya umum akan datang.

"Tetapi jika ini permintaan daripada mereka, diharap ianya dibuktikan terlebih dahulu kerana agak sukar kerajaan nak biayai RM224 juta setahun kerana ini jumlah akan besar.

"Walau bagaimanapun kita berterima kasih sekiranya kerajaan memutuskan untuk mempertimbangkan pesara tentera tidak berpencen ini," katanya lagi.

Najib mengumumkan bantuan sebanyak RM1,000 itu dalam Belanjawan 2013 untuk menghargai jasa bekas tentera yang bersara awal kerana berkhidmat kurang 21 tahun.

Kos bantuan untuk 224,000 orang pesara tentera akan dtanggung bersama oleh kerajaan dan Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT).

ADS