'Mereka paksa kita, bukan kita mahu bakar'

"Keputusan bakar atau tidak, bukan berada di tangan Himpunan Hijau. Keputusan itu adalah dari pihak berkuasa, mereka yang memaksa kita, bukan kita yang mahu membakar".

NONEBegitulah yang ditegaskan oleh Pengerusi Himpunan Hijau, Wong Tack yang dilaporkan semalam mengancam untuk membakar loji memproses nadir bumi Lynas di Gebeng, Kuantan sekiranya kilang itu masih beroperasi selepas pilihan raya umum ke-13.
 
"Mereka yang memaksa kita untuk membakar. Ia bukan keputusan kita," katanya ketika dihubungi Malaysiakini petang ini.

Sambil menegaskan bahawa selama ini kumpulan itu memang mengutamakan keamanan, beliau berkata tindakan untuk membakar kilang tersebut adalah sebagai "ekspresi simbolik" bagi menggambarkan kemarahan dan kekecewaan terhadap kilang itu.

Katanya, ini memandangkan loji tersebut sudah beroperasi dan orang ramai didakwa bakal terdedah dengan ancaman radioaktif.

"Di saat ini, ia merupakan satu simbolik perasaaan (marah). Tetapi kalau ia diteruskan juga kemarahan di dalam hati orang ramai, kebakaran mungkin akan terjadi.

"Keputusan ini adalah (terletak) pada pihak berkuasa, yang mesti menghentikan operasi walau apa cara sekalipun...Loji sudah beroperasi, ia menjadi ancaman setiap hari dengan radioaktif.

"Ini adalah (satu) kekecewaan. (Jadi) Siapa yang cabul undang-undang dan peraturan, adakah himpunan hijau atau pihak berkuasa yang menjaga keselamatan rakyat," katanya.

Akhbar Sin Chew Daily semalam melapor Wong sebagai berkata beliau sendiri akan membakar loji itu sekiranya tidak ditutup dalam tempoh 30 hari selepas pilihan raya umum dan mengadakan demonstrasi menumbangkan kerajaan yang baru dipilih sekiranya tuntutan itu tidak dipenuhi.

Ditanya tindakan beliau untuk membakar kilang itu dilihat sebagai satu tindakan jenayah, Wong berkata: "Ia adalah ekspresi simbolik".

Mengulas lanjut, Wong berkata kekecewaan dan kemarahan rakyat akan bertambah sekiranya Pakatan Rakyat berkuasa di negeri itu selepas pihan raya umum masih membenarkan laji itu diteruskan.

"Saya percaya dengan janji Pakatan Rakyat. Janji di atas sama dengan janji peringkat individu bahawa Pakatan akan menuntup kilang ini jika mereka berkuasa. Dan kebakaran tidak akan berlaku.

"Saya percaya 100 peratus Pakatan Rakyat akan mengambil tindakan dan memenuhi janji mereka," katanya.

1. Wong Tack ancam akan bakar loji Lynas jika...

2. MCA cabar pembangkang nyata pendirian

 

 



PERINGATAN: Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.