Adik mendiang Claudia berlepas ke Lubnan hari ini

Adik mendiang Claudia Theophilus, Penerbit Bahasa Inggeris portal berita Al-Jazeera yang terbunuh terkena peluru sesat di Lubnan Sabtu lalu, berlepas ke Beirut hari ini untuk urusan membawa pulang mayat mendiang.

Claudia TheophilusDora Theophilus, 36, menaiki pesawat Emirates Airline pukul 11 pagi ini
dan dijangka tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Beirut, Lubnan kira-kira pukul 6.25 petang waktu Beirut (12.25 pagi waktu Malaysia).
    
Dora diiringi kenalan rapat Claudia yang enggan dikenali serta dua wakil dari Biro Aduan Komuniti Pemuda Umno, akan mengenal pasti dan menuntut mayat kakaknya yang ditempatkan di Bakleen, Lubnan esok.
    
Mayat mendiang dijadual dibawa pulang ke tanah air Jumaat ini dengan perbelanjaan ditanggung Al-Jazeera.
    
Dora ketika ditemui pemberita sebelum itu enggan mengulas lanjut namun berharap proses membawa pulang mayat kakaknya akan berjalan dengan lancar.
    
"Saya menghargai sokongan daripada rakan, saudara mara serta majikan Claudia sejak mengetahui mengenai insden tersebut. Kami sekeluarga amat menghargai sekiranya pihak media boleh menghormati privasi kami dan berdoa untuk rohnya (Claudia)," katanya.
    
Dilaporkan Claudia yang berkhidmat dengan agensi berita Al-Jazeera yang berpangkalan di Doha, Qatar, terkena tembakan secara tidak sengaja ketika bercuti bersama dua rakannya di Bakleen, Lubnan.

[Baca berita penuh]
 



PERINGATAN: Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.