Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Persembahan Psy: BN didakwa khianati artis tempatan

Di saat kelembapan industri muzik Malaysia sejak lebih sedekad, langkah mengundang penyanyi luar, Park Jae-sang atau dikenali sebagai “Psy” untuk membuat persembahan percuma di Pulau Pinang sempena majlis rumah terbuka Gong Xi Fa Chai dengan bayaran lebih RM1 juta tak lain adalah satu bentuk pengkhianatan kepada industri muzik, penyanyi dan artis tempatan.

Biar apapun alasan atau pihak mana sekalipun yang dikononnya membayar, mengundang artis sepopular Psy untuk majlis sambutan Tahun Baru Cina kali ini yang akan melibatkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak adalah tak lain diyakini sebagai usaha memancing sokongan undi khususnya golongan muda menjelang pilihan raya umum.

NONE Hal ini cukup mendukacitakan terutama ketika artis veteran tempatan hanya dihulur RM2 ribu seorang baru-baru ini melalui Yayasan Artis 1Malaysia (YA1M). Kalau bayaran kepada Psy berjumlah RM2 juta, ia bersamaan dengan peruntukan keseluruhan kepada YA1M untuk tahun ini.

Sekiranya persembahan Psy di Pulau Pinang itu kelak tidak mengenakan bayaran tiket kepada penonton, maka tentulah tidak akan ada apa-apa duti atau cukai langsung boleh dipungut oleh kerajaan.

Dalam kata lain, jemputan berbayar itu semata-mata akan merugikan dana rakyat. Perkara ini boleh disemak di bawah Akta Duti Hiburan 1953 dengan syarat-syarat untuk kerajaan mengutip duti atau cukai hiburan.

Isu ini berbeza dengan artis warga asing yang bekerja dan berkarya dalam Malaysia apabila mereka perlu membayar tarif cukai sebagaimana pekerja asing profesional lainnya.

Perihal artis luar menetap di Malaysia sebenarnya lebih mendatangkan keuntungan kepada industri berkaitan seni hiburan di samping memberikan hasil pungutan cukai kepada negara.

Pemerintah mungkin juga tak menyedari bagaimana ada ribuan penyanyi tempatan yang menerima bayaran persembahan sangat rendah atau mungkin sahaja secara percuma untuk mempromosikan bakat mereka.

Langkah mengundang Psy sekaligus membuktikan bahawa dasar kebudayaan nasional sekian lama telah gagal melahirkan artis Malaysia yang mampu popular dan setanding di peringkat antarabangsa.


Hasmi Hashim adalah penulis lirik yang tersohor dengan nama Buddhi Hekayat.

ADS